KUALA LUMPUR 24 Julai - UAE Regulation Lab, agensi di bawah Sekretariat Agung Kabinet UAE, menjalin kerjasama dengan syarikat di bawah Kementerian Kewangan, Futurise Sdn Bhd untuk mewujudkan persekitaran perundangan yang kondusif dan cekap dalam bidang kawal selia inovasi.
Dalam usaha membentuk pakatan kukuh membina rumusan baharu melalui peraturan 'sandbox' dan lain-lain inisiatif pemangkin di Malaysia dan UAE, rakan kerjasama baharu itu menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk perkongsian pengetahuan teknikal dan pengalaman masing-masing dalam pelbagai peringkat.
Ketua Pegawai Eksekutif Futurise, Rosihan Zain Baharudin berkata, jalinan kerjasama melibatkan dua negara itu menandakan satu langkah penting yang akan memberi impak positif kepada landskap inovasi negara dalam mencapai Dasar Pelaburan Negara dan aspirasi MyDIGITAL.
Katanya, pihaknya teruja dan berbesar hati untuk bekerjasama dengan RegLab UAE dalam menyediakan semua ramuan penting untuk merangsang ekosistem teknologi Malaysia.
"Ia akan membantu memperhalusi lebih banyak inisiatif di Futurise dan seterusnya membawa kami ke arah yang betul dengan mempelajari amalan terbaik di negara lain.
"Gabungan pengetahuan Futurise dan RegLab UAE akan membina lapisan asas yang kukuh untuk kedua-dua negara mendapat manfaat dan membuka lebih banyak peluang dalam jangka masa panjang, dan seterusnya membangunkan rumusan inovatif lebih dinamik serta mampu membuahkan hasil," katanya dalam kenyataan media di sini.
Terdahulu, majlis menandatangani MoU yang diadakan di UAE itu menyaksikan pemeteraian perjanjian kerjasama antara Menteri Negara dan Setiausaha Agung Kabinet UAE, Maryam Alhammadi dan Rosihan Zain.
Menurut Maryam, MoU berkenaan membolehkan pihaknya bersama-sama membincangkan cabaran, pendekatan dan idea inovatif untuk memperkukuhkan pengawalseliaan yang mencapai standard serta penanda aras global dalam mewujudkan ekosistem kawal selia inovasi yang mampu membawa transformasi kepada sektor berkaitan.
Selain daripada perbincangan aktif mengenai strategi memupuk persekitaran yang kondusif dan membolehkan pembangunan teknologi baharu untuk usahawan dan perniagaan di kedua-dua negara, perjanjian itu juga merangkumi penyelarasan antara kedua-dua pihak dalam meneroka kerjasama serta inisiatif penyelidikan dan pembangunan (R&D) rentas sempadan.
Kerjasama itu juga mengaktifkan aktiviti penyelidikan bersama mengenai bidang yang mempunyai kepentingan bersama seperti reka bentuk, pembangunan dan pengurusan program sandbox kawal selia dan platform inovasi terbuka untuk kegunaan pelbagai industri.
Ia seterusnya akan memacu pembangunan solusi kawal selia yang boleh direplikasi, disesuaikan mengikut kawasan setempat dan berskala mengikut keperluan ekosistem. - DagangNews.com