UCSI lancar Konsortium Penyelidikan Hab Inovasi Rendah Karbon UCSI-Cheras | DagangNews Skip to main content

UCSI lancar Konsortium Penyelidikan Hab Inovasi Rendah Karbon UCSI-Cheras

Majlis pelancaran Konsortium Penyelidikan Hab Inovasi Rendah Karbon UCSI-Cheras pada 14 Mac 2022.

KUALA LUMPUR 14 Mac – Universiti UCSI melancarkan Konsortium Penyelidikan Hab Inovasi Rendah Karbon UCSI-Cheras sebagai inisiatif membantu melawan perubahan iklim dan impaknya, minggu lalu.

 

Konsortium Penyelidikan (RC) itu bakal berfungsi sebagai pusat sehenti untuk perundingan, melahirkan pakar, jagaan komuniti dan peluang untuk kawasan Cheras mencapai pembangunan rendah karbon.

 

Naib Canselor Universiti UCSI, Profesor Datuk Ir Ts Dr Siti Hamisah Tapsir berkata, RC ini bakal berganding bahu dengan rakan industri daripada pelbagai sektor terutama di Cheras.

 

“Ini termasuk agensi kerajaan, badan bukan kerajaan, akademik, penyelidik dari universiti dalam dan luar negara untuk menggalakkan pemindahan pengetahuan,” katanya.

 

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada majlis pelancaran yang disempurnakan oleh wakil Datuk Bandar Kuala Lumpur, Rosli Nordin, Timbalan Pngarah Kanan Jabatan Perancang Bandar (Sektor Penyelarasan Kajian dan Penyelidikan) DBKL.

 

Yang turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor UCSI, Penyelidikan dan Pasca-Graduan, Prof. Kanan Dr Phang Siew Moi; Penyelaras Konsortium Hab Penyelidikan Rendah Karbon UCSI-Cheras, Prof. Madya Dr Teng Kah Hou; CEO dan Pengasas Fathopes Energy, Vinesh Sinha dan Ketua Perancang Perniagaan Fathopes Energy, Mankarpal Singh Deo.

 
 

ucsi
Dr Siti Hamisah Tapsir (kiri), Rosli Nordin dan Dr Teng Kah Hou pada majlis perasmian konsortium tersebut pada 14 Mac 2022.

 

ucsi
Vinesh Sinha (dua dari kiri) bertukar-tukar dokumen MoU dengan Dr Siti Hamisah Tapsir disaksikan oleh Dr Phang Siew Moi (kanan) dan Mankarpal Singh Deo pada 14 Mac 2022.

 


Menurut Rosli, inisiatif UCSI ini wajar diikuti oleh pihak lain terutama institusi pendidikan dan pihak swasta.

 

“Institusi pendidikan, baik sekolah mahupun pengajian tinggi mampu menjadi platform penyebaran nilai-nilai murni kepada anak-anak kita, untuk mereka mengamalkan gaya hidup yang lestari untuk masa depan mereka.

 

“Saya berharap RC ini akan memainkan peranan penting dalam merealisasikan matlamat kita ke arah masyarakat rendah karbon untuk  kebaikan semua,” katanya.

 

Antara rakan kerjasama RC ini ialah Universiti Teknologi Petronas; Liverpool John Moores University; Pusat Perubahan Iklim dan Teknologi Hijau Malaysia (MGTC); Universiti Malaya dan Fathopes Energy Sdn Bhd.

 

Pada majlis sama, UCSI menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) dengan Fathopes Energy dalam usaha mengurangkan pelepasan karbon di Cheras di mana sasaran MoU adalah menggalakkan pertukaran pengetahuan dan penglibatan bersama dengan aktiviti komuniti.

 

Selain itu, UCSI turut menganjurkan sesi perkongsian secara dalam talian bersama Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air, Dato' Seri Ir Dr Zaini Ujang yang mengangkat tajuk : “Net Zero, Managing GHGs Beyond Climate” di mana beliau berkongsi tentang kepentingan mengurangkan pelepasan gas rumah hijau terutamanya karbon dioksida. – DagangNews.com