UDA anjur Angsana Showcase 2022 Edisi Bola Mania di Ipoh, Johor Bahru mulai 9 Disember 2022 | DagangNews Skip to main content

UDA anjur Angsana Showcase 2022 Edisi Bola Mania di Ipoh, Johor Bahru mulai 9 Disember 2022

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 9 Dis - Bagi menghangatkan lagi sambutan Piala Dunia FIFA Qatar 2022, UDA Holdings Berhad (UDA) menganjurkan kempen Angsana Showcase 2022 Edisi Bola Mania yang berlangsung di Angsana Ipoh Mall, Perak dan Angsana Johor Bahru Mall, Johor bermula hari ini.

 

Kempen yang berlangsung sehingga 18 Disember 2022 (Angsana Johor Bahru Mall) dan 31 Disember 2022 (Angsana Ipoh Mall) dianjurkan bagi mengalu-alukan kehadiran pengunjung dan merasai sendiri pengalaman unik bertemakan Piala Dunia FIFA Qatar 2022.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Sr Mohd. Salem Kailany berkata, UDA turut memaparkan tayangan siaran langsung di skrin besar bagi dua perlawanan suku akhir di Angsana Ipoh Mall (9 dan 10 Disember 2022) dan perlawanan tempat ketiga/keempat di Angsana Johor Bahru Mall (17 Disember 2022). 

 

Beliau berkata, pengunjung berpeluang menikmati persembahan artis terkemuka seperti Dayang Nurfaizah dan Hael Husaini sebelum perlawanan bermula. 

 

"Penganjuran kempen ini juga selari dengan penjenamaan baharu UDA - 'LIFE' iaitu meraikan legasi rakyat Malaysia berbilang budaya termasuk minat, keseniaan dan perayaan mereka selain menyepadukan keperluan masyarakat untuk bersosial, berhibur, membeli-belah dan menjamu selera di bawah satu bumbung.

 

“Inisiatif ini turut menghimpunkan kehalusan anak seni tempatan dan komuniti untuk bersama-sama merasai pengalaman istimewa ini dan dalam masa sama menyediakan platform bagi memperkasa tawaran pusat beli-belah kami serta meningkatkan pengalaman pelanggan," katanya dalam satu kenyataan.

 

Pelbagai aktiviti dan program dijalankan di Angsana Ipoh Mall sepanjang tempoh kempen antaranya sesi temu mesra dengan pemain Perak FC, perlawanan Perak FC (3 lawan 3) dan persembahan daripada Search serta Baby Shima.

 

 

uda

 

 

uda

 

 

uda

 

 

uda

 

 

Di Angsana Johor Bahru Mall pula, pengunjung berpeluang turut serta dalam Jualan Tengah Malam (sehingga jam 2 pagi) dengan potongan harga sehingga 50%, selain Jualan Barangan Piala Dunia FIFA. 

 

Pengunjung juga dapat beramah mesra dengan bekas pemain bola sepak Johor dan Malaysia, Hasnizam Uzir serta menikmati persembahan daripada Shiha Zikir. - DagangNews.com