KUALA LUMPUR 22 Ogos – UDA Holdings Bhd. memeterai perjanjian jual beli dengan BBCC Development Sdn. Bhd. bagi pembelian bangunan hotel di Bukit Bintang City Centre (BBCC) bernilai RM295 juta.
Hotel itu yang merupakan sebahagian daripada pelan induk pembangunan BBCC itu dijangka siap dan bakal diserahkan kepada UDA pada suku ketiga 2024.
Pengerusinya, Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, pembelian hotel itu merupakan strategi UDA dalam merancakkan lagi cabang perniagaan hospitaliti menerusi anak syarikat, AnCasa Hotels & Resorts.
Katanya, UDA mempunyai kepakaran dalam bidang tersebut yang berupaya memacu perniagaan hotel yang bakal menjadi tumpuan para pelancong di ibu kota.
"Pelaburan ini juga mampu meningkatkan keuntungan positif seterusnya menggalakkan industri pelancongan negara.
"Ini berikutan lokasinya yang strategik terletak di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur dan akses mudah dengan hab pengangkutan yang komprehensif merangkumi Transit Aliran Massa (MRT), Transit Aliran Ringan (LRT) dan Monorel KL di BBCC,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian jual beli antara Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Sr Mohd. Salem Kailany dan Ketua Pegawai Eksekutif BBCC, Low Thiam Chin.
Hotel itu kelak mampu melengkapkan komponen pembangunan di BBCC yang turut dilengkapi dewan konsert Zepp Kuala Lumpur (anak syarikat Sony Music Entertainment (Japan) Inc), Malaysia Grand Bazaar, panggung wayang dan dewan bankuet yang terletak dalam hab hiburan di bawah hotel tersebut.
Kini, fasa pembangunan bercampur di BBCC telah lengkap dengan pembangunan kediaman, pejabat dan kompleks beli-belah Mitsui Shopping Park Lalaport.
Hotel yang dijangka mula beroperasi pada suku ketiga 2024 itu bakal menyediakan 450 unit penginapan dan menawarkan pilihan 1, 2 dan 3 bilik yang mampu memenuhi keperluan pelbagai lapisan pengunjung sama ada untuk urusan perniagaan mahupun bersantai.
Selain menerapkan elemen sejarah Kuala Lumpur dalam keseluruhan konsep hotel, tema keunikan Malaysia turut diketengahkan bagi memberikan pengalaman baharu kepada tetamu. - DagangNews.com