UDA lancar projek kediaman Dedaun Residensi berharga RM388,000 di Bandar Tun Hussein Onn | DagangNews Skip to main content

UDA lancar projek kediaman Dedaun Residensi berharga RM388,000 di Bandar Tun Hussein Onn

Orang ramai melihat kediaman contoh Dedaun Residensi di Karnival Hartanah UDA Ria Bersama UDA Property di Bandar Tun Hussein Onn, Cheras, Selangor pada 25 Mei 2023.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 25 Mei - UDA Holdings Bhd melancarkan sebuah projek apartment baharu yang dikenali 'Dedaun Residensi' dengan harga bermula daripada RM388,000 yang bakal dibangunkan di Bandar Tun Hussein Onn, Cheras, Selangor.

 

Projek terbaharu UDA Property itu merupakan apartment pegangan bebas 37 tingkat berkeluasan 850 hingga 1,160 kaki persegi dengan menyediakan sebanyak 341 unit kediaman.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Datuk Mohd Salem Kailany berkata, apartment tersebut merupakan kediaman mesra warga emas serta Orang Kurang Upaya (OKU).

 

Katanya, ia bakal menyediakan unit-unit khas di tingkat fasiliti berdekatan dengan kolam renang, gimnasium serta surau yang memudahkan mereka menggunakan kemudahan tersebut tanpa perlu menaiki lif.

 

"Inisiatif UDA mewarnai pembangunan bandar termasuk di Bandar Tun Hussein Onn ini selari dengan penjenamaan UDA iaitu ‘L.I.F.E’ yang menekankan kepada ciri-ciri Legasi, Integrasi, Ketelitian dan Memperkasa, seterusnya bergerak ke arah kesejahteraan masyarakat bertepatan dengan konsep Malaysia Madani," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Apartment yang selesa berinspirasikan 8 tema dedaun eksklusif iaitu Bonsai, Draco, Zamofilia, Maple, Clover, Sakura, Princess Philodendron dan Monstera Obliqua itu turut dilengkapi sistem rumah pintar iaitu setiap tingkat bakal mengetengahkan ciri-ciri tersendiri.

 

Pelbagai kemudahan lain turut disediakan seperti trail pendakian, 2 atau 3 tempat letak kenderaan, sistem keselamatan berbagai lapisan, pusat jagaan kanak-kanak, ruang perpustakaan, dewan serbaguna, ruang barbeku dan taman permainan kanak-kanak.

 

 

uda
Pengerusi UDA, Tan Sri Mohd Annuar Zaini (dua, kanan) dan Datuk Mohd Salem Kailany (tiga, kiri) menunjukkan salah sebuah model skala apartmen Dedaun Residensi yang telah dilancarkan sempena Karnival Hartanah UDA Ria Raya Bersama UDA Property di Bandar Tun Hussien Onn, Cheras, Selangor pada 25 Mei 2023.

 

 

Terdahulu, UDA melancarkan apartment Dedaun Residensi sempena Karnival Hartanah UDA Ria Bersama UDA Property yang diadakan selama empat hari, bermula hari ini hingga 28 Mei 2023. 

 

Karnival yang berlangsung di ruang letak kenderaan di Lake Valley, Bandar Tun Hussein Onn itu turut memperkenalkan produk-produk hartanah UDA Property seperti Residensi 38 Bangsar, Legasi Kampong Bharu dan Avenue 3 Teres D’Tasek.

 

Karnival yang terbuka kepada orang ramai itu turut menyediakan peluang kepada pengunjung untuk membuat semakan kelayakan pinjaman dan konsultasi dengan panel bank selain para pembeli berpeluang memilih unit bagi produk Dedaun Residensi. 

 

 

uda

 

 

Kempen karnival hartanah ini akan diteruskan di seluruh negara dengan pelbagai tawaran pakej menarik kepada mereka yang berminat untuk memiliki produk hartanah UDA. Ini juga mampu meningkatkan jualan produk hartanah UDA dan sekali gus melonjakkan prestasi syarikat.

 

Bagi yang berminat untuk mendapatkan maklumat projek Dedaun Residensi atau mendaftar, sila kunjungi galeri jualan UDA Property di 14, Jalan Suarasa 8/4, Tun Hussein Onn, 43200, Cheras, Selangor atau layari https://www.udaproperty.com.my/project/dedaun-residensi. - DagangNews.com