UEM Edgenta meterai tiga MOBE perluas jejak dalam pasaran hartanah Timur Tengah | DagangNews Skip to main content

UEM Edgenta meterai tiga MOBE perluas jejak dalam pasaran hartanah Timur Tengah

Syahrunizam Samsudin (depan kiri) di majlis pemeteraian memorandum eksplorasi perniagaan bersama tiga syarikat iaitu Disrupt-X, Zain Tech dan Tadoom di Dubai.
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 7 Dis - UEM Edgenta Berhad telah memeterai tiga memorandum eksplorasi perniagaan (MOBE) berasingan dengan Disrupt-X, Zain Tech dan Tadoom bagi memperluaskan jejaknya dalam pasaran hartanah Timur Tengah.

 

Dalam satu kenyataan media hari ini, UEM Edgenta berkata kerjasama strategik dengan ketiga-tiga rakan kongsi itu menandakan permulaan usaha kolektif yang memanfaatkan kepakaran gabungan ketiga-tiga organisasi terbabit.

 

Di dalam usahasama dengan Zain Tech dan Tadoom, UEM Edgenta akan memulakan inisiatif khusus di Oman dan rantau Timur Tengah secara amnya. 

 

Disrupt-X memainkan peranan penting dalam perkongsian ini bersama Zain dan Tadoom dengan memberi tumpuan kepada pembangunan bandar pintar dan kelestarian dalam persekitaran dibina dengan memanfaatkan internet kebendaan (IoT) dan rumusan pintar pada peringkat aset dan pada skala seluruh bandar.

 


"Usahasama ini mengukuhkan komitmen UEM Edgenta untuk menyampaikan rumusan inovatif, berasaskan teknologi dalam sektor hartanah dan pada masa yang sama, membentuk masa depan mampan dan maju teknologi di rantau ini," katanya.

 

Tiga MOBE tersebut dimeterai selepas UEM Edgenta mengumumkan pengambilalihan 60% kepentingan dalam Kaizen Group di Dubai baru-baru ini bersempena Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu ke-28 (COP28).

 

 

ARTIKEL BERKAITAN: UEM Edgenta ambil alih 60% kepentingan dalam 2 firma berpangkalan di UAE berharga RM55.1 juta

 


Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif UEM Edgenta, Syahrunizam Samsudin berkata kehadiran Kumpulan Kaizen sebagai sebahagian daripada UEM Edgenta merupakan satu langkah strategik, memanfaatkan peluang pertumbuhan dalam sektor hartanah. 

 


Tambahnya, ini didorong oleh Dubai Master Urban Plan 2040, yang bermatlamat mewujudkan modal kesejahteraan, dengan sasaran bagi meningkatkan reputasi Dubai sebagai bandar terkemuka untuk kehidupan berkualiti.

 


“Kami yakin ini merupakan jalan yang terbaik untuk dunia yang mampan, inklusif dan makmur. Kami percaya bahawa data dan AI, terutamanya dalam konteks bandar pintar merupakan elemen asas dalam perjalanan transformatif ini.

 

"Melalui gabungan tersebut, kami bercita-cita untuk memimpin dalam mewujudkan piawaian industri baharu, memupuk kerjasama global, dan menerapkan prinsip ESG ke dalam intipati operasi bandar pintar kami," tambahnya.  - DagangNews.com