UEM Edgenta, PPES Consults bentuk usaha sama sedia khidmat runding projek | DagangNews Skip to main content

UEM Edgenta, PPES Consults bentuk usaha sama sedia khidmat runding projek

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 11 Mac - Unit UEM Edgenta Bhd., Opus International (M) Bhd. (OIMB) memeterai perjanjian pemegang saham dengan PPES Consults Sdn. Bhd. dan  Opus Consultants (Sarawak) Sdn. Bhd. untuk menyediakan perkhidmatan pengurusan projek dan khidmat rundingan mengenai reka bentuk kejuruteraan menerusi syarikat usaha sama.

 

Menerusi kerjasama itu, PPES mempunyai 51% kepentingan ekuiti dalam syarikat usaha sama tersebut manakala OIMB memiliki 49%, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.

 

UEM Edgenta berkata, syarikat usaha sama itu bertujuan untuk menyediakan perkhidmatan pengurusan projek dan perundingan reka bentuk kejuruteraan membabitkan projek berkaitan kejuruteraan dan pembinaan.

 

Katanya, cadangan usaha itu juga sejajar dengan perniagaan kumpulan di bawah bahagian perundingan aset untuk menyediakan khidmat rundingan berkaitan kejuruteraan dan pengurusan aset kepada segmen infrastruktur.

 

"Ini membolehkan pihak-pihak berkenaan bekerjasama dan berkongsi sumber untuk menyertai projek infrastruktur mega di Sarawak.

 

"Malah, cadangan usaha sama ini juga dijangka dapat menyokong pembangunan kepakaran kejuruteraan tempatan di negeri tersebut," katanya.

 

OIMB, adalah anak syarikat milik penuh Opus Group Bhd. yang juga merupakan anak syarikat milik penuh UEM Edgenta.

 

PPES pula merupakan anak syarikat milik penuh Sarawak Economic Development Corporation (SEDC).

 

Menurut UEM Edgenta, cadangan usaha sama itu tidak memberi kesan material kepada aset bersih disatukan sesaham, penggearan dan pendapatan sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022.

 

Ia juga tidak memberi kesan kepada terbitan modal saham UEM Edgenta dan pemegangan utama kumpulan. - DagangNews.com