UEM Edgenta teroka pasaran Arab Saudi | DagangNews Skip to main content

UEM Edgenta teroka pasaran Arab Saudi

Syahrunizam Samsudin (depan, kanan) memeterai memorandum eksplorasi perniagaan (MoBE) bersama Sheikh Abdulwahab Nasser Al-Akeel sambil disaksikan Azmin Ali (belakang, tiga dari kiri) di Riyadh - Foto UEM Edgenta

 

RIYADH 29 April – UEM Edgenta Berhad menandatangani Memorandum Teroka Perniagaan (MoBE) dengan Asma Advanced Solutions LLC, untuk mengenal pasti strategi untuk memperluaskan pasaran perkhidmatan sokongan penjagaan kesihatan dan pasaran pengurusan fasiliti bersepadu di Arab Saudi.

 

Asma Advanced merupakan sebuah syarikat yang dimiliki bersama oleh Progressive Impact Corporation Berhad (PICORP) dan syarikat saham bersama tertutup Arab Saudi, Trade House Group Company (THG).

 

MoBE ini dijangka membuka jalan untuk kerjasama masa hadapan bagi meneroka dan mengenal pasti peluang yang berpotensi dalam usaha untuk memperluaskan perniagaan yang berdaya maju secara komersial di Arab Saudi.

 

Turut hadir semasa majlis menandatangani memorandum hari ini ialah Syahrunizam Samsudin, Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif UEM Edgenta dan Sheikh Abdulwahab bin Nasser Al-Akeel, Pengerusi Asma Advanced.

 

Majlis disaksikan oleh Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa & Industri Malaysia (MITI). Melalui kerjasama strategik ini, kedua-dua pihak akan mengadakan perbincangan bersama dalam tempoh lapan bulan akan datang dan memanfaatkan kekuatan semua pihak untuk meneroka peluang perniagaan.

 

“Ini menandakan lebih banyak peluang untuk kami mempelbagaikan lagi aliran pendapatan syarikat ketika meneroka pasaran baharu di Arab Saudi. Kami sangat gembira dengan prospek ini di kala kita sedang menuju ke arah pemulihan ekonomi pasca pandemik dan menerusi pengalaman kami dalam Sokongan Penjagaan Kesihatan yang mendalam serta pelbagai.

 

"Kami yakin kerjasama kami dengan Asma Advanced ini akan mendorong pertumbuhan selanjutnya dalam strategi pengembangan serantau untuk kami merealisasikan visi kami ‘Edgenta of the Future 2025’,” kata Syahrunizam selepas majlis tersebut, menurut kenyataan di sini hari ini.

 

“Aspirasi kami adalah untuk menjadi penyedia pilihan, terutamanya dalam bidang penyelesaian kesihatan dan alam sekitar. Dengan kerjasama ini, kami amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan UEM Edgenta, syarikat penyedia perkhidmatan Sokongan Penjagaan Kesihatan yang berpengalaman di mana kami kini sedang memperkenalkan penyelesaian inovatif ke pasaran Arab Saudi,” kata Sheikh Abdul Wahab.

 

“MoBE akan menggariskan kerjasama yang rapat antara kedua-dua pihak termasuk penglibatan dengan pihak berkepentingan yang berkaitan dan memahami peraturan serta keperluan pasaran tertentu.

 

"Ia juga akan mengenal pasti peluang yang berpotensi untuk UEM Edgenta membuktikan kemampuannya dan menawarkan penyelesaian bagi mewujudkan struktur komersial, sekiranya wujud peluang sebelum akhir Disember 2021," katanya. - DagangNews.com