UEM Sunrise, Alliance Bank tawar pinjaman perumahan tambahan sehingga 10% daripada nilai hartanah | DagangNews Skip to main content

UEM Sunrise, Alliance Bank tawar pinjaman perumahan tambahan sehingga 10% daripada nilai hartanah

Sufian Abdullah (tengah) bersama Gan Pai Li di acara pelancaran kerjasama program Alliance Home Complete di Galeri Jualan Kiara Bay.
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 6 Feb - UEM Sunrise Berhad dan Alliance Bank Malaysia Berhad bekerjasama dalam program ‘Alliance Home Complete’ yang memberi fleksibiliti kepada pemilik rumah dengan menawarkan pinjaman tambahan sehingga 10% daripada nilai hartanah, atau maksimum RM150,000.

 

Tawaran pembiayaan ini merupakan inisiatif yang direka untuk memperkasa pemilik rumah untuk menyesuaikan ruang kediaman mereka untuk pengubahsuaian dan reka bentuk dalaman dengan memastikan mereka tidak risau terhadap perbelanjaan tunai.

 

Menekankan keutamaan syarikat untuk mewujudkan rumah yang memenuhi pelbagai keperluan dan aspirasi pelanggan, Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise, Sufian Abdullah berharap kerjasama kreatif dengan Alliance Bank akan membantu pelanggan mereka dengan rangsangan tambahan untuk membantu mereka mendapat rumah idaman.

 

“Kerjasama dengan Alliance Bank untuk menawarkan alternatif menjangkaui rumusan pembiayaan konvensional adalah sebahagian daripada komitmen berterusan kami untuk memperkasa pembeli rumah.

 

“Bukan sahaja mengurangkan beban kewangan, malah menjadikan perjalanan pemilikan rumah mereka mudah dan menyeronokkan," ujar beliau dalam satu kenyataan media hari ini.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Perbankan Pengguna Kumpulan Alliance Bank, Gan Pai Li berkata bank itu menyasarkan untuk menyediakan pakej pembiayaan bagi memenuhi keperluan pelanggan yang semakin berkembang.

 

“Tawaran eksklusif ini digabungkan dengan produk gadai janji Alliance Bank agar pengalaman permohonan pinjaman pembelian rumah lebih lancar dan cekap.

 

“Selain itu, pelanggan kini boleh menikmati kadar faedah lebih rendah dengan kami apabila membeli hartanah yang diperakui hijau yang dibina oleh UEM Sunrise,” tambahnya.

 

UEM Sunrise dalam kenyataan tersebut berkata ia optimis terhadap program Alliance Home Complete yang dijangka memacu kadar pengambilan lebih baik untuk projeknya yang terlibat.

 

Projek itu termasuk pelancaran utama 2023 di Lembah Klang seperti The MINH, The Connaught One, dan Serene Heights Intrika, serta projek di Johor iaitu Aspira Gardens, Aspira Parkhomes dan Senadi Hills 2A.  - DagangNews.com