UEM Sunrise dijangka catat kerugian pada suku keempat 2021 | DagangNews Skip to main content

UEM Sunrise dijangka catat kerugian pada suku keempat 2021

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 31 Jan - AmInvestment Research mengekalkan saranan 'pegang' untuk saham-saham UEM Sunrise pada harga sasaran tidak berubah iaitu RM0.38 sesaham dengan jangkaan syarikat itu akan mencatatkan kerugian pada suku keempat (4QFY21).

 

Saranan itu juga dibuat selepas firma penyelidikan itu menurunkan Nilai Aset Bersih Dinilai Semula (RNAV) serta penilaian neutral tiga bintang bagi amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

 

"Kami percaya pendapatan FY21F tidak mungkin berubah kerana berlaku kelewatan dari segi pembinaan akibat penularan pandemik 

 

"Syarikat juga dijangka mengambil masa yang lebih lama untuk pulih daripada kesan pandemik berbanding syarikat-syarikat lain.

 

"Bagaimanapun, kami menjangkakan kerugian 4QFY21 akan menyusut sebanyak 80-90% akibat pemulihan aktiviti dalam sektor pembinaan," katanya dalam satu nota kajian hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, syarikat itu juga menyasarkan jualan yang lebih tinggi pada FY22F iaitu RM1.5 bilion dan menjangkakan sasaran itu akan tercapai berdasarkan peningkatan jualan pada 4Q21 berbanding 3Q21 selepas tiada lagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

 

Menerusi pelancaran beberapa projek baharu pada 2H2022 selain kempen pemasaran yang agresif, momentum jualan UEM Sunrise dijangka stabil.

 

"Tahun ini, UEM akan melancarkan projek bernilai RM3.3 bilion dan majoritinya dijangka hadir daripada wilayah tengah (56%), projek antarabangsa (26%) dan wilayah selatan (18%).

 

"Projek antarabangsa itu merangkumni pelancaran projek 1.3 ekar pembangunan bercampur di Collingwood, Melbourne dengan nilai pembangunan kasar (GDV) AU$250 juta (RM734.11 juta)," katanya. - DagangNews.com