UEM Sunrise, Intermedika jalin kerjasama promosi kehidupan sihat | DagangNews Skip to main content

UEM Sunrise, Intermedika jalin kerjasama promosi kehidupan sihat

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 18 Mac - UEM Sunrise Berhad menjalin kerjasama dengan Intermedika Co. Ltd., sebuah firma perunding berpangkalan di Phuket,  untuk menyepadukan komponen sukan, kesejahteraan dan hospitaliti dalam pembangunan akan datangnya dengan penciptaan Hab Sihat Bandar.

 

Hab Sihat Bandar itu bakal disepadukan dalam tiga projek akan datang kumpulan itu di Lembah Klang dan tiga lagi potensi projek di Iskandar Puteri Johor, menurut satu kenyataan media kumpulan itu hari ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise, Sufian Abdullah berkata, kerjasama dengan Intermedikan menekankan komitmen pihaknya terhadap kepelbagaian perniagaan dan memenuhi keperluan pelanggan yang semakin berkembang, untuk meningkatkan komuniti hidup sihat melalui pembangunan bersepadunya.

 

"Kami optimis inisiatif ini akan menghasilkan kejayaan kerana kami memanfaatkan kekuatan kami dalam reka bentuk dan inovasi produk, serta terus berdaya saing dalam pasaran,” ujar beliau.

 

Berkongsi sentimen yang sama, Rakan Kongsi Urusan Intermedika, Edgar Toral Hernandez menambah bahawa kerjasama strategik ini menjanjikan anjakan paradigma dalam pembangunan hartanah dan meletakkan UEM Sunrise sebagai peneraju dalam mempromosikan gaya hidup seimbang dan sihat melalui inovasi hartanah.

 

“Dengan saling bekerjasama, kami melihat peluang unik untuk mewujudkan komuniti bertenaga yang memberi inspirasi kepada semua peringkat umur untuk hidup lebih sihat dan memupuk rasa kesejahteraan. 

 

“Kami memastikan rangkaian produk padu yang bersinergi dengan pelan induk UEM Sunrise, percaya bahawa tindak balas pastinya akan positi,” tambahnya.

 

UEM Sunrise berkata, latar belakang meluas Intermedika dalam strategi jenama dan operasi merentasi pelbagai wilayah termasuk Asia, Timur Tengah dan Amerika Latin akan banyak menyumbang kepada pembangunan projek UEM Sunrise, terutamanya untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk ruang hidup sihat di bandar. - DagangNews.com