Ketua Pegawai Pemasaran UEM Sunrise, Kenny Wong
KUALA LUMPUR 8 Sept – UEM Sunrise Berhad melancarkan Program “The Happy Chase 2021” yang bersiaran langsung secara maya untuk mempamerkan keunikan pembangunan kediamannya di Johor dan Lembah Klang – menjanjikan pelbagai hadiah istimewa, menarik dan kemudahan untuk memiliki kediaman kepada pembeli rumah.
Penganjuran kembali program "The Happy Chase" adalah berdasarkan kejayaan yang dicatatkan pada tahun lalu, namun pada kali ini menyaksikan pendekatan kempen yang sedikit berbeza dimana ia akan melibatkan tujuh sesi di Facebook Live yang terbuka kepada umum.
Perunding hartanah UEM Sunrise yang berpengetahuan luas akan membawa para penonton mengikuti sesi lawatan maya projek-projek hartanah menarik yang ditawarkan sambil berkongsi cara mudah untuk memenangi hadiah istimewa. Perunding Feng shui, Dato ’Joey Yap juga akan membuat penampilan khas di dalam satu daripada sesi tersebut.
Program “The Happy Chase" akan memberikan aspirasi kepada para pemilik rumah baru, dan pemilik rumah yang ingin meningkatkan taraf hidup yang kini sedang mencari kediaman impian mereka melalui langkah-langkah yang mudah diikuti, dimana ia akan dikongsikan oleh hos secara langsung. Penonton yang bertuah untuk setiap sesi juga berpeluang memenangi baucar Grab dan pelbagai hadiah menarik.
Ketua Pegawai Pemasaran UEM Sunrise, Kenny Wong berkata, susulan kejayaan kempen "The Happy Chase" pada tahun lalu, UEM Sunrise kini meneruskan misi untuk memberikan bakal pemilik rumah pengalaman yang lancar dan mudah untuk mendapatkan kediaman mereka dan menjadikan proses pemilikan rumah ini suatu yang menggembirakan.
“Selaras dengan slogan kami 'Menuju Bahagia', UEM Sunrise juga ingin membantu para pelanggan kami untuk mendapatkan kebahagiaan mereka dengan menawarkan kediaman yang mempesonakan dan berkualiti tinggi, dan menjadikan setiap detik pengalaman bersama kami sebagai sesuatu yang mudah dan menggembirakan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Para pembeli rumah juga akan menikmati Kempen Pemilikan Rumah oleh Kerajaan (HOC) yang telah dilanjutkan sehingga 31 Disember 2021 yang memperuntukkan pengecualian duti setem dan pengecualian Surat Cara Pemindahan (MOT).
Pada masa yang sama, pemilik rumah pertama dan kedua untuk projek-projek terpilih juga akan berpeluang untuk memiliki rumah impian mereka dengan sifar pembayaran untuk projek yang masih dalam tempoh pembinaan, sifar bayaran pendahuluan, dan skim pembiayaan 100% di bawah program HouzKEY Maybank Islamic.
Sesi Siaran Langsung “Happy Chase 2021” telah dijalankan secara maya melalui laman Facebook UEM Sunrise pada 4 September yang memaparkan fasa terakhir Siri Verna Residences di Serene Heights - Verna Lake Villas, sebuah pembangunan terhad kediaman berkembar seluas 2,688 kaki persegi yang dilengkapi pelbagai kemudahan.
Manakala sesi berikutnya adalah pada 11 September 2021 yang akan menampilkan projek-projek kediaman seperti Aspira ParkHomes, Aspira LakeHomes dan Aspira Square, rumah teres dua tingkat yang dibangunkan untuk keselesaan dan kemewahan yang bertemakan komuniti di Gerbang Nusajaya, Johor.
Secara keseluruhan, sebanyak 10 buah projek kediaman akan dipamerkan untuk kepuasan para penonton. Ia juga merangkumi projek-projek lain yang berada di Johor iaitu Senadi Hills, The Maris, Bayu Angkasa dan projek terbaru iaitu Serassa Greens, pembangunan rumah teres dua tingkat di Iskandar Puteri yang akan dibina tidak lama lagi dengan harga yang sangat berpatutan.
UEM Sunrise juga telah bekerjasama dengan Visit Johor dan Johor Now di mana mereka juga akan berkongsi sesi FB Live di halaman masing-masing untuk perkembangan di wilayah selatan.
Sementara itu, projek-projek di Lembah Klang pula yang akan diperkenalkan adalah KAIA Heights dan Allevia Mont'Kiara. Sesi tersebut akan diteruskan sehingga 16 Oktober 2021. - DagangNews.com