UEM Sunrise lupus tanah seluas 49.6 hektar berharga RM146.1 juta di Tanjung Kupang kepada Paragon Globe | DagangNews Skip to main content

UEM Sunrise lupus tanah seluas 49.6 hektar berharga RM146.1 juta di Tanjung Kupang kepada Paragon Globe

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 17 Nov - UEM Sunrise Berhad menerusi tiga anak syarikatnya memeterai lapan perjanjian jual beli (SPA) bersama PGB Landmark Sdn Bhd iaitu anak syarikat Paragon Globe Berhad bagi cadangan pelupusan tanah pegangan bebas seluas 46.9 hektar berharga RM146.1 juta di Tanjung Kupang, Johor.

 

Anak syarikat UEM Sunrise iaitu Symphony Hills Sdn Bhd dan Nusajaya Rise Sdn Bhd memeterai lima SPA bersama PGB Landmark bagi pelupusan tanah seluas 19.52 hektar dan pada masa sama Nusajaya Rise turut memeteari dua lagi perjanjian bersama syarikat itu bagi melupuskan tanah seluas 24.62 hektar.

 

Dalam perkembangan sama, Nusajaya Rise memeterai satu lagi perjanjian bagi pelupusan tanah seluas 0.96 hektar juga di kawasan Tanjung Kupang.

 

Pelupusan tanah itu adalah selaras dengan pelan pemulihan strategiknya bagi mengubah kumpulan itu menjadi pemain hartanah yang seimbang dengan matlamat mengukuhkan prestasi kewangan melalui penjanaan wang menerusi tanah tidak strategik.

 

uem
Sufian Abdullah

 

Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise, Sufian Abdullah berkata, tumpuan utama mereka di Johor adalah untuk mengaktifkan lebih banyak projek pembangunan kediaman.

 

"Pelupusan ini akan membolehkan kami mengewangkan beberapa bank tanah kami di Johor sambil masih memanfaatkan aktiviti ekonomi yang akan diwujudkan daripada cadangan pembangunan perindustrian oleh PGB Landmark bagi meningkatkan permintaan terhadap pembangunan kediaman yang dirancang di kawasan sekitar," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Paragon Globe, Datuk Seri Edwin Tan Pei Seng berkata, pengambilalihan tanah itu memberikan mereka peluang untuk mencipta nilai ekonomi yang lebih besar kepada Johor Bahru serta meningkatkan potensi pendapatan kumpulan dalam jangka sederhana hingga panjang. - DagangNews.com