Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 9 Mac – UEM Sunrise Berhad, satu daripada pemaju hartanah terkemuka di Malaysia, berkolaborasi dengan Petronas Dagangan Berhad (PDB) bagi menaja sebuah unit-satu bilik Verdi Eco-dominiums sebagai hadiah utama dalam peraduan Petronas Primax 97 dengan Pro-Race mulai dari 1 Mac sehingga 31 Mei 2021.
Kondominium ini adalah berpegangan bebas yang mesra alam berada di lokasi Cyberjaya bernilai sejumlah hampir RM600,000.
Langkah kolaborasi dengan PDB ini adalah sejajar dengan usaha UEM Sunrise dalam menyediakan peluang untuk memberi keseronokan dan kegembiraan kepada orang ramai. Usaha ini menggambarkan nilai teras C.H.I.E.F. Syarikat (Prihatin, Jujur, Terlibat, Bersemangat, Bersuka ria) dalam memainkan peranan secara aktif dan berusaha untuk membawa impak positif kepada masyarakat.
Sementara itu, UEM Sunrise juga sentiasa terbuka kepada sebarang kerjasama dengan rakan strategik yang lain dimana ianya akan membawa kegembiraan dan manfaat kepada para pelanggan dan orang ramai yang terlibat.
“Kempen ini bertepatan dengan tujuan penjenamaan UEM Sunrise iaitu untuk menginspirasikan keceriaan dan kebahagiaan pada satu masa yang sama. Oleh itu, kami amat teruja untuk berkolaborasi dengan syarikat tempatan yang bereputasi tinggi seperti PDB untuk membawa lebih kegembiraan dan nilai kepada para pelanggan, serta mengembangkan lagi komuniti kami dengan melibatkan para pelanggan PDB.
“Sebagai satu daripada projek tersohor kami, Verdi Eco-dominiums dilengkapi dengan pelbagai kemudahan rumah pintar yang dibina mengikut kriteria ketat Indeks Bangunan Hijau – pelengkap yang bertepatan dengan gaya hidup para pelanggan PDB yang memilih bahan api premium untuk kenderaan mereka. Kami berharap dan mengalu-alukan para pelanggan PDB untuk menyertai komuniti bahagia kami,” kata Ketua Pegawai Pemasaran UEM Sunrise, Kenny Wong.
Kediaman itu menawarkan reka bentuk seni bina yang inovatif dengan pelbagai kelengkapan dan kemudahan untuk aktiviti masa lapang.
Berkonsepkan kehidupan taman kontemporari, Verdi Eco-dominiums menggabungkan ciri-ciri moden dan semula jadi untuk keselesaan dan ketenteraman penduduknya.
Verdi Eco-dominiums terdiri daripada dua buah menara bertingkat 44 (Tower 1) dan 45 (Tower 2) serta mengandungi 800 buah unit.
Jumlah purata unit dalam satu tingkat adalah 10 unit dengan keluasan saiz rumah antara 700 kaki persegi dan 1,453 kaki persegi. – DagangNews.com