Oleh MUAZ MOHD NOR
MELAKA 27 Sept – Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini tidak menghalang penganjuran seminar Warisan Islam Antarabangsa (ISHEC 2021), siri keempat anjuran Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), UiTM Cawangan Melaka dengan kerjasama Bahagian Penyelidikan dan Jaringan Industri, UiTM Cawangan Melaka.
Selain diadakan secara norma baharu iaitu menerusi dalam talian, penganjuran kali ini menyuntik kelainan dengan menggabungkan elemen penyiaran sebagai nilai tambah kepada pembentang kertas kerja dan peserta.
Seminar yang membawakan tema isu kontemporari dalam pengajian sosial seperti Syariah dan Undang-Undang, Ekonomi Islam dan Kewangan, Akidah dan Pemikiran Islam, Dakwah dan Komunikasi, Al-Quran dan Al-Hadith, Pengurusan dan Kepimpinan, Pendidikan dan Ketamadunan serta Sains dan Teknologi telah disertai oleh 69 orang pembentang kertas kerja yang mewakili beberapa institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) di seluruh negara.
Menurut pengarah seminar, Dr Mohd Zaid Mustafar, penganjuran ISHEC 2021 kali keempat ini berjaya mencapai matlamat selain berjaya mewujudkan jaringan dengan rakan kolaborasi bersama UiTM Cawangan Terengganu dan Universiti Selangor (UNISEL).
Seminar ini turut mendapat tajaan daripada Sinar Haemodialysis, Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan, Pusat Pengutan Zakat MAIWP, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis dan juga Majlis Agama Islam Melaka.
"Ini pertama kali seminar antarabangsa ISHEC diadakan secara maya yang menggunakan saluran Youtube Live rasmi UiTM Cawangan Melaka sebagai platform penyiaran.
‘’Sementara sidang selari oleh para pembentang dan peserta telah dijalankan melalui aplikasi Webex. Alhamdulillah, walaupun segalanya normal baharu, penyertaan kali ini dianggap sangat menggalakkan" katanya.
Sementara itu, menurut Ketua Pusat Pengajian ACIS, Dr Dziauddin Sharif, lebih 50 ahli jawatankuasa terdiri dari pensyarah ACIS dan beberapa staf dari fakulti dan unit lain telah bergabung tenaga bagi menjayakan seminar ini, walaupun terdapat beberapa kekangan dari sudut persiapan teknikal dan komunikasi.
"Sejujurnya kita berpuas hati sebab berjaya buat perkara baharu terutama dapat menggabungkan web dan penyiaran. Sedikit sebanyak memberikan nilai tambah bukan saja untuk kami dan pembentang, tapi juga untuk penonton. Selain itu, ini juga memberikan pengalaman baharu buat kami yang terbabit.
"Apa yang pasti, penganjuran sebegini menjadikan kos jauh lebih murah sebab di Kuis sudah ada kemudahan untuk membuat penerbitan penyiaran," katanya.
Program ISHEC 2021 kali keempat ini dirasmikan oleh Rektor UiTM Melaka, Profesor Dr Abdul Halim Mohd Noor, dan turut menampilkan tiga pembentang ucaptama, iaitu Prof. Dato’ Dr Ab. Halim Tamuri dari Pusat Kajian Kepimpinan dan Polisi Pendidikan, Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Dr Zaid Ahmad dari Universiti Putra Malaysia dan Syeikh Dr Khalid Zahri dari Universiti Abdel Malek Saadi, Tetouan, Maghribi.
Daripada senarai 69 pembentangan kertas kerja, 8 kertas kerja terbaik dan 8 pembentang terbaik telah diumumkan secara langsung semasa sesi majlis penutup yang diadakan pada waktu petang hari yang sama. – DagangNews.com
Muaz Hj Mohd Noor merupakan Pensyarah UiTM Cawangan Melaka