UMNO Bahagian tidak dipaksa sokong Ismail Sabri sebagai PM - Mahdzir | DagangNews Skip to main content

UMNO Bahagian tidak dipaksa sokong Ismail Sabri sebagai PM - Mahdzir

Datuk Seri Mahdzir Khalid menyampaikan hadiah kepada seorang pelajar cemerlang pada Majlis Anugerah Cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Nerang pada 16 Oktober 2022.

KUALA NERANG 16 Okt - UMNO Bahagian di seluruh negara tidak menerima sebarang arahan atau dipaksa oleh mana-mana pihak untuk menyokong usul Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terus menerajui kepemimpinan negara sebagai Perdana Menteri.

 

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, usul itu adalah suara akar umbi di peringkat bahagian yang membawa usul itu tanpa bahas pada mesyuarat perwakilan Bahagian semalam.

 

"Perkara ini tidak ada arahan, ia terpulang kepada UMNO Bahagian masing-masing.

 

"Jadi, semalam itu, Bahagian ambil inisiatif sendiri, kita sealiran dengan keputusan MKT UMNO."

 

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Anugerah Cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Nerang, di sini hari ini.


 

mahdzir khalid

 

mahdzir khalid

 

 

Tambah Mahdzir yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar, usul Datuk Seri Ismail Sabri menjadi poster boy dan Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) adalah berasaskan kepada keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, yang bersetuju meletakkan beliau sebagai calon Perdana Menteri.

 

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Padang Terap berkata, Bahagian itu turut meluluskan usul menyokong penuh Ismail Sabri untuk terus menerajui kepemimpinan negara sebagai Perdana Menteri secara sebulat suara.

 

UMNO Padang Terap turut meluluskan usul memberi kepercayaan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi serta kepemimpinan menyusun strategi memperkukuhkan UMNO.

 

Usul itu jelas Mahdzir, tidak menimbulkan sebarang konflik kerana ia adalah hasil persetujuan Ahmad Zahid sendiri yang menamakan Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri.

 

 

mahdzir khalid

 

mahdzir khalid

 

 

Mengulas mengenai jumlah kerusi  boleh dimenangi di Parlimen Kedah pada PRU-15, beliau yakin akan menang lebih daripada dua kerusi Parlimen yang dimenangi pada PRU14 lalu.

 

"Pada PRU-14, kita menang dua kerusi Parlimen di Kedah, kita ada keyakinan untuk menang lebih daripada dua tapi sasaran itu, saya tak boleh beritahu sekarang, saya akan maklumkan nanti," kata Mahdzir. - DagangNews.com