UMNO perlu adakan pemilihan parti sekarang agar dapat dikemudi di landasan betul | DagangNews Skip to main content

UMNO perlu adakan pemilihan parti sekarang agar dapat dikemudi di landasan betul

Oleh TENGKU NOOR SHAMSIAH TENGKU ABDULLAH
editor@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 14 Ogos – UMNO sepatutnya mengadakan pemilihan parti sekarang bagi membolehkan parti itu dikemudikan di landasan yang betul, demikian menurut penganalisis politik.

 

Pensyarah Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor (Unisel), Ismail Hashim berkata, UMNO perlu segera mengadakan pemilihan parti agar ia dapat dikemudikan dalam keadaan yang betul, seterusnya mengelak sebarang kekeliruan  dalam perjuangan sebenar parti.

 

“Tetapi kelihatan macam UMNO nak mengelakkan dari mengadakan pemilihan ini kerana terdapat  kemelut dalaman yang membelenggu parti itu,’’ katanya kepada DagangNews.com.

 

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada haruskah UMNO mengadakan pemilihan parti sekarang.

 

Penangguhan Pemilihan UMNO telah dimaklumkan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) pada 24 Jun 2021.

 

Keputusan menangguhkan pemilihan parti dibuat pada Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi parti itu pada 25 April 2021.

 

 “Sekarang saya tengok negara kita macam Afrika nampak gaya, sekejap tukar kerajaan, dari PH jadi PN — tukar pula jadi kerajaan apa lagi…keadaan jadi kucar kacir sebab keadaan kita tidak macam dulu... kita duduk ingat kita hidup dalam zaman BN…punya majoriti besar dan tidak ada parti yang boleh mengancam atau membangkang,’’ ujar Ismail.

 

 

ismail unisel
ISMAIL HASHIM

 


Menurut beliau, realitinya kerajaan sekarang perlu bergabung dan bekerjasama antara satu sama lain.

 

“Ini semua mereka tak nampak kerana UMNO masih mainkan peranan nak jadi king maker. Saya tidak pasti sama ada kerajaan sementara (interim government) menjadi pilihan terbaik sebelum pilihan raya umum yang ke-15 diadakan.

 

Dengan adanya kerajaan sementara pun akan timbul masalah kerana terdapat perebutan kuasa dalam kalangan mereka yang berkepentingan hendak menjadi Perdana Menteri.

 

“Semua nak jadi warlord. Jangan ingat kuasa adalah segala-galanya, yang kita mesti beri tumpuan adalah kepentingan rakyat. Sekarang ini kita mesti undi untuk rakyat dan bukan untuk kuasa semata-mata atau kroni mereka.

 

‘’Dengan adanya media sosial, semua sudah menjadi telus, apa yang orang politik lakukan sedang diperhati rakyat,’’ katanya.

 

Sementara itu, Felo kanan Institut Perhubungan Antarabangsa Singapura, Dr Oh Ei Sun berkata: “Sejujurnya saya rasa untuk mengadakan pilihan raya dalam masa terdekat ini bukanlah satu idea yang baik kerana pandemik COVID-19 masih berleluasa lebih-lebih lagi dengan terdapat varian Delta dan terbaru Lamda dari Peru.


 

droi
                        Dr Oh Ei Sun



“Pengalaman semasa pilihan raya negeri Sabah membuktikan kepada kita kes COVID akan meningkat akibat dari kempen pilihan raya, jadi saya rasa ini bukan cadangan yang baik,’’ ujarnya.

 

Dari sudut politik, katanya: “Masih tidak jelas  ini adalah satu penyelesaian yang baik kerana saya rasa selepas pilihan raya umum kita akan masih mengalami landskap politik yang berpecah-belah. Saya jangka keadaan perebutan kuasa antara parti politik ini akan berterusan walaupun selepas pilihan raya umum yang dijangka tahun hadapan.

 

Menyentuh tentang pemilihan parti UMNO, Dr Oh berkata: ”Mereka harus membuat keputusan (terbaik) kerana mereka yang harus mengambil risiko.

 

“Jika pemilihan parti diadakan akan terdapat ribuan orang yang akan berkumpul bukan hanya di Pusat Perdagangan Putra (WTC). Pemilihan parti juga akan diadakan di peringkat bahagian, jadi akan ada orang yang akan berkumpul di sana, jadi ini bukanlah satu idea yang baik, “ ujar Dr Oh.

 

Sekiranya pemilihan parti UMNO diadakan, ia akan melibatkan perjumpaan seramai tiga juta ahli UMNO dari seluruh negara.

 

Ini bukanlah proses yang mudah kerana sistem pengundian perlu dibuat secara fizikal. DagangNews.com