UMNO perlu berubah: Perkasa golongan muda menerajui pemulihan parti | DagangNews Skip to main content

UMNO perlu berubah: Perkasa golongan muda menerajui pemulihan parti

Oleh Noel Entili

MELIHAT kepada kekalahan besar UMNO-BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri pada 12 Ogos 2023, dilihat mengulangi sejarah kekalahan yang dialami dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

 

Mandat terhadap parti keramat orang Melayu itu dilihat semakin ‘goyah’. Bukan hanya tewas teruk memenangi hati pengundi di Terengganu dan Kedah, UMNO juga hanya memenangi 19 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 108 kerusi yang ditandingi di Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan.

 

PRN yang berlangsung pada 12 Ogos menyaksikan BN hanya memenangi satu kerusi di Kelantan, Selangor (2), Pulau Pinang (2) dan 14 kerusi di Negeri Sembilan.


 

parafrasa

 


UMNO yang kini ibarat menumpang tuah Pakatan Harapan (PH) demi memastikan parti terus mendapat kerusi dalam Dewan Rakyat dan juga untuk terus menempa nama dalam pembentukan kerajaan.

 

Satu rombakan perlu dilakukan pada pucuk kepimpinan parti bagi meraih kembali kepercayaan rakyat terhadap parti yang pernah memerintah negara lebih 6 dekad itu.

 

Sentimen politik yang dimainkan oleh sesetengah parti terhadap UMNO perlu diatasi secara telus kerana isu-isu sensitif melibatkan parti keramat itu dilihat menjadi punca orang muda berpaling tadah dan hilang kepercayaan kepada parti.

 

Perpecahan dalam peringkat dalaman parti yang tidak menemui penamat menjadi faktor UMNO ‘hilang taring’ dalam gelanggang politik di Malaysia.

 

Tidak cukup dengan itu, label ‘parti kluster mahkamah’ turut memberi kesan terhadap perjuangan UMNO untuk meraih mandat rakyat terutama golongan muda.

 

Pelaksanaan Undi18 dalam pilihan raya dilihat telah banyak memberi kesan terhadap corak percaturan kebanyakan parti politik untuk meraih kepercayaan dalam kalangan pengundi muda di negara ini.

 

Persoalan yang perlu diperhalusi oleh pimpinan tertinggi UMNO sekarang adalah, apakah yang orang muda ingin lihat dan mahukan daripada mereka?

 

UMNO sudah tidak boleh lagi memencilkan peranan dan suara generasi muda terutama Pergerakan Pemuda dan Puteri yang menjadi armada dalam kelangsungan parti dan bangsa Melayu.

 

Sebahagian besar ahli UMNO adalah terdiri daripada golongan muda sekitar 18 hingga 30 tahun.


 

parafrasa
Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh dalam satu acara berdampingan dengan golongan belia, baru-baru ini.

 


Mereka seharusnya diberikan ruang untuk menyuarakan denyut nadi rakyat kepada pihak yang di atas dan bukan hanya menyerahkan borang pendaftaran keahlian semata-mata.

 

Satu penilaian perlu dilakukan bagi memastikan barisan kepimpinan terutamanya pimpinan tertinggi adalah selayaknya menjadi nakhoda bagi menentukan hala tuju UMNO pada masa akan datang.

 

Tindakan UMNO ‘menyimpan’ beberapa kerusi penting daripada dipertandingkan dalam pemilihan parti dikhuatiri memberi impak negatif terhadap kredibiliti UMNO sendiri.

 

UMNO perlu lebih fleksibel dan terbuka untuk menerima dan menempatkan calon-calon muda dalam medan politik mereka terutama daripada aspek pemilihan pimpinan parti sendiri.

 

Langkah dan strategi mantap perlu diusahakan oleh UMNO untuk terus bertahan dan kekal relevan untuk tempoh lima tahun mendatang dan juga seterusnya tanpa perlu bersandar kepada mana-mana gabungan parti politik.

 

UMNO seharusnya menampilkan muka-muka muda yang berpotensi untuk menerajui parti, terutama mengisi kerusi-kerusi penting, sebagai salah satu langkah  untuk menambat kembali hati pengundi muda.

 

Sayap Pemuda dan Puteri perlu dibimbing secara berintegriti untuk mengemudi parti berlandaskan prinsip dan perjuangan asal parti, bukan hanya untuk memenuhi ‘selera’ sesetengah individu.

 

Tidak hanya di situ, UMNO juga perlu bijak mengatur strategi untuk menempatkan lebih banyak calon baharu yang lebih dipercayai untuk bertanding dalam kerusi Parlimen, semestinya UMNO perlu mengurangkan budaya lantikan politik dan budaya ‘mengampu’ bagi menjaga imej parti.


 

parafrasa

 


Parti keramat yang diasaskan semenjak 1946 itu harus ‘dirawat’ dengan kadar segera.

 

Jerih payah pejuang-pejuang parti terdahulu tidak wajar dibiarkan ‘terkubur’ begitu sahaja dek kerana mahukan kekuasaan, ibarat peribahasa Melayu, diberi berkuku hendak mencengkam.

 

Satu langkah pembaharuan perlu diambil bagi memastikan parti yang pernah memperjuangkan hak orang Melayu sehingga kemerdekaan kembali mendapat mandat besar dengan kepimpinan negara yang memiliki hala tuju yang lebih jelas, telus dan mendengar setiap keluh kesah nadi rakyat. – DagangNews.com

 

Noel Entili adalah mahasiswa Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka