UMS galak budaya inovasi dalam kalangan pelajar | DagangNews Skip to main content

UMS galak budaya inovasi dalam kalangan pelajar

Salah seorang peserta GNHI 1.0 menerangkan tentang inovasi kumpulan mereka kepada Prof Madya Dr. Raman Noordin (dua dari kanan).

KUALA LUMPUR 16 Jun - Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus menggalakkan budaya inovasi dalam kalangan pelajar melalui pelbagai program yang dapat memberi manfaat kepada warganya dan alam sekitar.

 

Terbaharu, Persatuan Mahasiswa Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA) UMS menganjurkan pertandingan inovasi ‘Global Nature and Human Innovation Sesi 2022 (GNHI 1.0) yang bertemakan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

 

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Prof Madya Dr. Raman Noordin berkata, penganjuran program seumpama itu menggalakkan para pelajar untuk berfikir secara kreatif dan berusaha untuk mengaplikasi inovasi dalam kehidupan.

 

“Pada era globalisasi, dunia korporat ini memerlukan individu-individu yang berfikiran terbuka dan boleh menghasilkan pelbagai idea yang bukan sahaja memberi kemaslahatan kepada industri malah untuk masyarakat, alam sekitar dan sekali gus dunia. 

 

"Oleh itu, amatlah penting bagi para pelajar pada masa ini untuk melibatkan diri dalam program-program sebegini untuk mendapat pendedahan dan pengalaman yang tidak ternilai,” katanya ketika berucap merasmikan GNHI 1.0 di Bangunan FSSA UMS, baru-baru ini.

 

Sementara itu, Pengarah GNHI 1.0, Mohd Khairul Hafiz Abdul Halim pula berkata, program tersebut bertujuan menyediakan platform kepada mahasiswa untuk menunjukkan bakat dan kemampuan dalam mencipta dan merancang perancangan yang sistematik. 

 

“Program ini juga membantu mencetuskan idea dan memberikan jalan penyelesaian untuk dipraktikkan dalam kehidupan seharian manusia seiring penjagaan alam semula jadi,” katanya. 

 

 

UMS
Prof Madya Dr. Raman Noordin

 

 

Sesi pembentangan inovasi GNHI 1.0 yang diadakan bermula 25 Mei 2022 juga turut mendapat penyertaan dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Pusat Luar UMS (PLUMS) kampus cawangan Sandakan.

 

Pada pertandingan tersebut kumpulan Smart Disinfectant-Dispenser Station merangkul johan dengan inovasi pembasmi pintar berasaskan ozon yang dilengkapi dengan pengawal mikro dan penderia.

 

Manakala naib johan dimenangi kumpulan Seacheez, dan tempat ketiga pula dimenangi Invasibe Predatory Machine. 

 

Satu anugerah khas turut diberikan kepada kumpulan Olilife - Waste to Wealth. - DagangNews.com