UMS raih 2 pingat gangsa menerusi 2 hasil penyelidikan di V-AIS 2022 | DagangNews Skip to main content

UMS raih 2 pingat gangsa menerusi 2 hasil penyelidikan di V-AIS 2022

KOTA KINABALU 22 Mac -  Universiti Malaysia Sabah (UMS) berjaya meraih dua pingat gangsa menerusi dua hasil penyelidikannya pada pameran inovasi Virtual Asian Innovation Show (V-AIS) 2022.

 

UMS dalam satu kenyataan berkata, kejayaan itu diperoleh melalui produk inovasi makanan ‘CaShoots Nugget’ dan Bosou Kubis.

 

Cashoot Nuggets merupakan inovasi makanan sihat oleh pelajar Kursus Kokurikulum Berkredit Interaksi Institusi dan Masyarakat (INTERIM) Seksyen 7, Pusat Kokurikulum dan Pemajuan Pelajar (PKPP).

 

Inovasi tersebut dihasilkan menerusi bimbingan jurulatih Kursus INTERIM PKPP, Sakinah Ithnin sekali gus membawa nama UMS berada di kelompok tiga terbaik dalam kategori Pelajar Universiti / Kolej daripada 87 peserta yang mengambil bahagian.

 

"Inovasi Bosou Kubis merupakan hasil ciptaan bersama antara Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK); Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP); dan pihak komuniti.

 

"Inovasi berasaskan makanan tradisi masyarakat Kadazan-Dusun di Sabah itu diterajui Pensyarah Kanan FSSK merangkap Pengarah PKPP, Dr. Jurry Foo @ Jurry Michael; dan Pensyarah Kanan FPEP merangkap Timbalan Pengarah PKPP, Dr Sharifah Rahama Amirul; serta Lahangan Lakim dari komuniti setempat," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

ums

 

Mereka meraih anugerah tersebut melalui kategori Ahli Akademik dan Industri yang menyaksikan 67 peserta mengambil bahagian. 

 

ums

 

Berlangsung selama dua hari secara dalam talian, V-AIS 2022 diadakan bertujuan mencari penyelesaian inovatif, jimat kos dan praktikal untuk halangan berkaitan kebolehcapaian dalam komuniti. 

 

Ia terbahagi kepada tiga kategori termasuk kategori Sekolah Rendah / Menengah yang menyaksikan penyertaan lebih 200 peserta negara Asia dalam kesemua kategori yang dipertandingkan. - DagangNews.com