UMS, Yayasan Sabah erat kerjasama pemuliharaan hutan | DagangNews Skip to main content

UMS, Yayasan Sabah erat kerjasama pemuliharaan hutan

Rombongan UMS dan Yayasan Sabah di kawasan pokok hutan tropika tertinggi di dunia
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 18 Feb - Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Pusat Kelestarian Libatsama Masyarakat (PKLM) mengeratkan lagi kerjasama bidang pemuliharaan hutan dengan Yayasan Sabah menerusi penganjuran Program Bersama Komuniti Konservasi Lembah Danum.

 

Rombongan UMS baru-baru ini diketuai Naib Canselor, Prof. Datuk Chm. Ts. Dr. Taufiq Yap Yun dan Yayasan Sabah diwakili Pengurus Kumpulan, Bahagian Konservasi dan Pengurusan Alam Sekitarnya, Dr. Waidi Sinun.

 

Dr. Taufiq berkata, kesempatan kolaborasi menerusi program tersebut membolehkan ahli-ahli akademik dari UMS meningkatkan lagi kepakaran yang ada berkaitan konservasi hutan menerusi lawatan dan pertemuan bersama pelbagai pihak.

 

“Ini sekali gus menyumbang terus kepada usaha pihak Yayasan Sabah dalam memelihara dan memulihara kawasan konservasi. Pihak UMS juga akan turut meninjau potensi pemindahan ilmu yang sama di dua kawasan konservasi Yayasan Sabah iaitu di Imbak Kanyon dan Lembangan Maliau,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Menurut Taufiq, beberapa projek pemindahan ilmu berasaskan komuniti dicadangkan di kawasan tersebut seperti projek hidroponik, baja kompos, kemahiran berkomunikasi dan pembangunan teknologi maklumat. 

 

“Projek pemindahan ilmu ini bakal meningkatkan lagi usaha komuniti untuk meningkatkan pengurusan kawasan konservasi Lembah Danum yang kian menjadi tumpuan para penyelidik, pelawat dan pelancong dari seluruh dunia. 

 

“Justeru, UMS amat menghargai sambutan dan sokongan yang diberikan pihak Yayasan Sabah khususnya pihak Komuniti Konservasi Lembah Danum terhadap program yang dirangka PKLM," katanya.

 

 

ums
Dr Jakaria Dasan menyampaikan taklimat berhubung Program Bersama Komuniti Konservasi Lembah Danum

 

 

Pengarah PKLM, Dr Jakaria Dasan pula berkata, program tersebut adalah salah satu usaha pemindahan ilmu bagi kesejahteraan hidup komuniti terutama di kawasan terpencil pedalaman Sabah.

ums
Prof. Datuk Chm. Ts. Dr. Taufiq Yap Yun menanam pokok di salah sebuah kawasan di Lembah Danum

 

 

“Menerusi rombongan UMS dan Yayasan Sabah berkesempatan melihat keindahan flora dan fauna di habitat asal dan tanpa sedar jarak untuk sampai ke Lembah Danum ini tidak dirasakan. Kepakaran yang diperlukan komuniti akan segera dibincangkan di peringkat UMS untuk dilaksanakan dalam masa terdekat,” katanya.

 

 

ums
Rombongan UMS dan Yayasan Sabah mendaki Bukit Danum

 

 

Antara pengisian program yang berlangsung selama empat hari itu adalah bird watching, taklimat mengenai kawasan Konservasi Lembah Danum, sesi perbincangan aktiviti pemindahan ilmu di Lembah Danum dan taklimat universiti untuk masyarakat bersama komuniti oleh PKLM.

 

 

ums
Prof. Datuk Chm. Ts. Dr. Taufiq Yap Yun mendengar penerangan berkaitan kawasan konservasi Lembah Danum

 

 

Ia diikuti sesi lawatan ke Tapak Semaian dan Makmal Bio-Prospek Penyelidikan dan Pembangunan Kulat, halia liar, tumbuh-tumbuhan ubatan dan aromatik (TUB) dan aktiviti mendaki Bukit Danum bagi melihat pokok hutan tropika tertinggi di dunia iaitu pokok Seraya Kuning Siput dengan ketinggian 100.8 meter. - DagangNews.com