UMW Holdings dijangka catat pendapatan yang baik pada FY23 disokong jualan kukuh Toyota dan Perodua – Maybank IB | DagangNews Skip to main content

UMW Holdings dijangka catat pendapatan yang baik pada FY23 disokong jualan kukuh Toyota dan Perodua – Maybank IB

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 29 Mei - Maybank Investment Bank (Maybank IB) menjangkakan UMW Holdings Berhad mencatatkan prestasi pendapatan yang agak serupa pada suku-suku berikutnya, disokong tunggakan kereta Toyota dan Perodua yang kukuh.

 

Firma penyelidikan itu berkata demikian susulan pendapatan suku pertama tahun kewangan 2023 (1QFY3)  kumpulan itu yang telah membentuk anggaran tahun penuh firma dan konsensus masing-masing sebanyak 32% dan 33%.

 

 

 

BACA: Untung bersih UMW Holdings melonjak 32.9% kepada RM134.5 juta pada suku pertama 2023

 

 

Menurut firma itu, ia optimistik terhadap tahun kewangan 2023 (FY23) UMW Holdings yang dilihat menunjukkan peningkatan pada semua bahagian perniagaannya.

 

“Anggaran pendapatan kami tidak berubah, berdasarkan jangkaan pendapatan yang lebih perlahan. Pendapatan yang lebih tinggi untuk tahun kewangan 2023 hingga 2024 (FY23-24) mencerminkan peningkatan pendapatan di semua bahagiannya,” katanya dalam nota hari ini.

 

Maybank IB berkata operasi Perodua terus menyasarkan rekod jualan kenderaan pada 314,000 unit, meningkat 11% tahun ke tahun (YoY), disokong oleh kira-kira 200,000 unit tunggakan manakala Toyota telah meningkatkan anggaran jualan kenderaan kepada 93,000 unit sekarang iaitu peningkatan 3% suku ke suku (QoQ).

 

Sasaran jualan Toyota yang disemak semula itu konservatif, pada pandangan firma itu, memandangkan tempahan tertunggaknya kekal kukuh pada 50,000 unit.

 

Bagaimanapun, firma tersebut tidak menolak Toyota dapat mencapai rekod jualan 101,000 unit pada tahun lalu.

 

“Pada masa yang sama, operasi pembuatan dan kejuruteraan (M&E), termasuk aeroangkasa, dan operasi peralatannya akan terus menunjukkan pertumbuhan selepas pandemik, didorong oleh tempahan yang lebih tinggi untuk sarung kipas dalam operasi dan peralatan aeroangkasa,” jelasnya.

 

Sementara itu, UMW Holdings telah menganggarkan nisbah pembayaran dividen sekurang-kurangnya 40% yang dilihat positif oleh firma itu memandangkan kewangan kumpulan adalah stabil.

 

“Kami melihat ruang yang mencukupi untuk pembayaran dividen lebih tinggi kerana pelupusan aset bukan terasnya, iaitu tanah Serendah, sedang dijalankan, dengan kemungkinan bahawa pemegang saham diberi ganjaran,” tambahnya.

 

Maybank IB mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran RM5.30 sesaham, yang setakat pukul 10:55 pagi ini didagangkan pada RM3.70, menokok 4 sen atau 1.1% dengan modal pasaran RM4.3 bilion. -DagangNews.com