UMW Toyota, Bank Islam tawar skim pembiayaan patuh syariah | DagangNews Skip to main content

UMW Toyota, Bank Islam tawar skim pembiayaan patuh syariah

 

SHAH ALAM 6 Okt. - UMW Toyota Sdn Bhd (UMWT) dengan kerjasama Bank Islam Malaysia Berhad kini menawarkan dua lagi skim pembiayaan patuh syariah kepada pelanggan-pelanggan Toyota, dikenali dengan nama Pembiayaan-i Kenderaan dan juga Pembiayaan-i Kenderaan GradHitz.

Pembiayaan-i Kenderaan ditawarkan kepada semua pelanggan yang berumur sehingga 60 tahun dengan pendapatan minimum RM2,800 atau lebih.

Pembiayaan-i Kenderaan GradHitz pula merupakan pakej istimewa yang ditawarkan kepada para graduan yang baru mula bekerja, dalam usia tidak lebih 30 tahun, dengan kelayakan minimum diploma dari institusi yang diiktiraf di bawah Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dengan kadar pembiayaan sehingga 100%.

Kedua-dua skim ini berasaskan terma pembiayaan, dengan kontrak pembelian kos ditambah keuntungan, di bawah prinsip Murabahah kepada Pemesan Pembelian (MPO).

Tempoh pembiayaan ialah sembilan tahun, dengan kadar keuntungan tetap dari 2.35% hingga 2.55% setahun.

Pelanggan juga layak untuk menikmati Ibra' (rebat) sekiranya bayaran langsai dibuat sebelum tempoh matang pembiayaan.

Pelan Pembiayaan Auto Takaful (AFTP), sebuah perlindungan takaful turut ditawarkan kepada para pelanggan. Pelan berkenaan melindungi jumlah baki pembiayaan sekiranya berlaku kematian atau kurang upaya kekal dalam tempoh pembiayaan.

Sumbangan AFTP dikira berdasarkan jumlah pembiayaan dan umur pemohon.

Dua skim pembiayaan Bank Islam ini sah untuk semua kenderaan dan model baru Toyota yang dijual oleh pengedar sah Toyota di seluruh Malaysia (termasuk di zon bebas cukai Labuan dan Langkawi).

Menurut UMWT lagi, pihaknya ingin menawarkan skim pembiayaan paling mampu milik bagi pelbagai lapisan pelanggan untuk memudahkan mereka memiliki kenderaan sendiri.

Katanya, pelan Toyota EZ Beli, Jom Drive, AITAB, Pelan Toyota Flexi serta skim sewa-beli dan pajakan kenderaan konvensional ada ditawarkan di semua cawangan serta pengedar rasmi Toyota, bertujuan untuk memenuhi keperluan pelanggan yang berbeza-beza. - DagangNews.com