UMW Toyota gantung semua operasi semasa PKP penuh | DagangNews Skip to main content

UMW Toyota gantung semua operasi semasa PKP penuh

SHAH ALAM 8 Jun - UMW Toyota Motor telah menggantungkan sementara operasi pengilangan serta penjualannya, seiring dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan penuh pada 1 Jun 2021 di seluruh negara.

 

Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran K berkata, ketika menghadapi waktu sukar ini, kami di Toyota dan Lexus tetap bersama anda semua dalam solidariti untuk mengekang pandemik.

 

"Kami telah menangguhkan sementara semua perkhidmatan tidak penting. Dalam masa sama, kami faham dalam keadaan tidak menentu ini, kami tetap boleh membantu dan menyediakan sokongan. Untuk itu, kami akan tetap ada sekiranya kenderaan anda rosak atau dalam kecemasan dan memerlukan perhatian.

 

"Tak lupa juga, semua kenderaan yang dibeli daripada UMW Toyota Motor atau pengedar sah kami dengan jaminan sedia ada yang sah serta akan tamat di dalam tempoh PKP ini, anda akan menikmati lanjutan tempoh berkenaan selama 30 hari, yang akan dikira dari hari terakhir PKP," katanya daam kenyataan di sini.

 

Syarikat juga baru-baru ini mengumumkan bahawa jualan kenderaan Toyota dan Lexus di Malaysia terus menunjukkan corak peningkatan, dengan keseluruhannya mencatatkan sebanyak 7,595 unit terjual sepanjang Mei 2021, atau melibatkan peningkatan 120% berbanding tempoh sama pada tahun 2020.

 

Jumlah berkenaan dipacu terutamanya oleh model-model seperti Vios sedan yang menyumbang 32% daripada jumlah jualan, diikuti Yaris hatchback lima-pintu (25%) dan trak pikap Hilux yang menyumbang sebanyak 21% bagi jualan bulan Mei 2021.

 

Pertumbuhan yang dicatatkan itu menjadi petunjuk jelas kepada keyakinan pembelian oleh pelanggan, dan mereka juga berlumba untuk memanfaatkan penjimatan tambahan daripada pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang kini telahpun dilanjutkan hingga 31 Disember 2021.

 

Naib Pengerusi UMW Toyota Motor, Akio Takeyama berkata, pihaknya sangat berterima kasih kepada kerajaan kerana telah mengambil beberapa langkah dan campur tangan bukan sahaja untuk melindungi Malaysia daripada ancaman pandemik, tetapi juga di dalam memperkenalkan dasar kewangan serta industri untuk memastikan pandemik ini memberi kesan yang tidak terlalu parah terhadap ekonomi.

 

"Ini termasuklah lanjutan SST yang kami percaya akan terus menyumbang di dalam memulihkan keyakinan membeli dalam kalangan pelanggan," ujarnya.

 

Takeyama menambah bahawa kesan pandemik ini tidak boleh dijangka dan sukar diramal, tetapi pengenalan beberapa model baru sepanjang tahun ini yang digandingkan dengan insentif SST untuk pelanggan telah membantu industri automotif tempatan menghadapi badai ini dalam kedudukan yang kukuh.

 

Sementara itu, Ravindran turut berkata, syarikat akan terus memberikan perkhidmatan cemerlang kepada semua pelanggan dan terus memperkenalkan beberapa inisiatif yang bertujuan untuk membantu memberikan penjimatan lebih banyak dalam keadaan seperti sekarang.

 

"Kami ada di sini untuk anda. Ini satu usaha yang bukan sahaja perlu dipikul oleh kerajaan, sebaliknya memerlukan kita semua serta keseluruhan pihak berkepentingan lain. Kami berterima kasih kepada semua pelanggan di atas sokongan berterusan dan untuk itu, kami akan terus memberikan sokongan kepada anda dalam keadaan yang mencabar ini," jelas beliau.

 

UMW Toyota Motor menggalakkan semua orang untuk berada di rumah, kekal selamat dan menjaga keselamatan antara satu sama lain. Kepada semua pelanggan pula, jangan risau. Semua sokongan, sekiranya diperlukan, akan disediakan sepanjang tempoh ini.

 

"Kepada seluruh pertugas kesihatan kita dan kepada mereka yang menjaga keamanan dalam apa cara sekali pun, kami berhutang dengan anda dan berterima kasih di atas segala pengorbanan yang telah diberikan. Kami ingin menzahirkan jutaan terima kasih kepada anda semua," jelas Ravindran. - DagangNews.com