UMW Toyota perkenal inisiatif 'Beyond Zero' untuk capai neutral karbon menjelang 2050 | DagangNews Skip to main content

UMW Toyota perkenal inisiatif 'Beyond Zero' untuk capai neutral karbon menjelang 2050

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 20 Feb - UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT), pengeluar kereta bukan nasional terkemuka, memperkenalkan inisiatif 'Beyond Zero', selaras dengan matlamat global Toyota ke arah keberkecualian karbon menjelang 2050. 

 

UMWT memaklumkan, acara itu bermula pada 20 hingga 28 Februari ini di Taman Teknologi Malaysia, mempersembahkan inisiatif transformasi yang mempamerkan komitmen jenama itu terhadap amalan mampan dan mesra alam. 

 

Katanya, acara itu turut merangkumi ikrar UMWT untuk menerajui usaha ke arah mewujudkan masa depan yang mampan dan saling berhubung. 

 

"Wawasan ini melangkaui konsep automotif konvensional, membayangkan sebuah masyarakat yang mana setiap individu mengejar kebahagiaan dengan membuat pilihan yang selari dengan nilai dan gaya hidup mereka. Inilah yang dinamakan sebagai pendekatan berbilang laluan ke arah keberkecualian karbon," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

 

Sementara itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan, dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang merasmikan acara itu memuji UMWT atas komitmen yang ditunjukkan syarikat itu terhadap amalan mampan dan pemuliharaan alam sekitar. 

 

Katanya, menyedari kepentingan untuk peralihan Malaysia kepada tenaga mampan, negara didorong komitmen global dan potensi untuk kepelbagaian ekonomi dan keterjaminan tenaga. 

 

"Malaysia, yang diiktiraf sebagai negara terbaik di Asia Tenggara dalam Indeks Peralihan Tenaga 2023 oleh Forum Ekonomi Dunia, berada di atas landasan yang betul untuk menjadi pemimpin serantau dalam peralihan tenaga.

 

 

toyota

 

 

toyota

 

 

"Usaha inovatif Toyota dalam tenaga bersih, menerusi pendekatannya yang pelbagai, sememangnya selari dengan matlamat negara kita," katanya.

 

Presiden UMWT, Datuk Ravindran K berkata, pihaknya mengakui wujudnya pelbagai cabaran dan peluang di seluruh negara dalam usaha mereka memperjuangkan pendekatan berbilang laluan dan melaksanakan tindakan kitar hayat yang sesuai agar selari dengan setiap kepentingan nasional dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) negara. 

 

 

toyota

 

 

"Menyedari keunikan landskap industri automotif Malaysia, serta kedudukannya sebagai hab pengeluaran elektrik dan elektronik utama di Asia Tenggara, adalah penting untuk kami meletakkan diri kami di kedudukan yang sewajarnya dalam perjalanan ini," katanya.

 

Acara Beyond Zero dilancarkan secara simbolik bagi mempamerkan pendekatannya yang pelbagai dengan pelbagai teknologi elektrifikasi, termasuk Kenderaan Elektrik Hibrid, Kenderaan Elektrik Bateri dan Kenderaan Elektrik Sel Bahan Api. 

 

 

toyota

 

 

Kenderaan elektrifikasi itu mempamerkan kemampanan automatif terkini, yang menampilkan elemen reka bentuk dan teknologi termaju bertujuan untuk mengurangkan impak terhadap alam sekitar. - DagangNews.com