UMW Toyota rekod jualan keseluruhan 29,393 kenderaan sehingga April 2022 | DagangNews Skip to main content

UMW Toyota rekod jualan keseluruhan 29,393 kenderaan sehingga April 2022

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Mei - UMW Toyota Motor berjaya merekodkan jualan 6,868 unit Toyota dan 78 unit Lexus pada bulan April, menjadikan jumlah jualan keseluruhan sehingga kini sebanyak 29,393 unit untuk kedua-dua jenama itu.

 

Jumlah jualan itu juga menunjukkan berlakunya peningkatan sebanyak 11% berbanding tempoh sama untuk tahun lalu.

 

Peningkatan jualan itu didorong oleh promosi Hari Raya Aidilfitri, 'Bersama Lebih Bermakna' yang menawarkan faedah bernilai RM4,000 untuk mereka yang memilih model Vios dan Yaris.

 

Presiden UMW Toyota Motor,  Ravindran K. berkata, pihaknya berkeyakinan jumlah jualan mereka akan terus meningkat pada masa akan datang menerusi pelancaran produk baharu.

 

Beliau berkata, Toyota Motor berbesar hati dengan sokongan yang ditunjukkan pelanggan terutama pada bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri dan pihaknya akan sentiasa menjadi lebih inovatif dalam mempromosikan tawaran yang lebih bernilai kepada pelanggan.

 

"Kami sentiasa komited dalam memberikan sokongan dengan menawarkan lebih nilai menerusi inovasi bersama teknologi canggih dan ciri-ciri keselamatan dalam kesemua produk kami," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

kereta

 

Terdahulu, semasa bulan Ramadan lalu, UMW Toyota meraikan mereka yang kurang bernasib baik menerusi program Titipan Kasih dengan memberikan hadiah berupa baju raya bernilai RM150 kepada 50 kanak-kanak dan Kotak Rezeki berupa barang keperluan bernilai RM100 kepada 168 keluarga.

 

yaris

 

Program itu juga menyaksikan kesemua 50 kanak-kanak kurang bernasib baik itu menerima 'duit raya' sebanyak RM60 setiap seorang.

 

lexus

 

Ravindran berkata, fokus utama aktiviti itu adalah untuk berkongsi kegembiraan bersama mereka yang kurang berkemampuan.

 

"Program ‘Bersama Lebih Bermakna’ adalah pendekatan yang digunakan untuk membantu mereka yang kurang bernasib baik terutama anak-anak yatim dan golongan ibu tunggal," katanya. - DagangNews.com