Unex Holdings bakal disenaraikan di Nasdaq | DagangNews Skip to main content

Unex Holdings bakal disenaraikan di Nasdaq

KUALA LUMPUR 3 Sept - Unex Holdings Inc. telah melantik Network 1 Financial Securities, Inc. sebagai penaja jamin dan pengurus utama bagi tawaran bersempena dengan permohonan yang dicadangkan untuk penyenaraian di Nasdaq.

 

Bakal dinamakan semula sebagai EvoAir Holdings Inc., syarikat teknologi hijau yang sedang berkembang pesat itu akan bekerjasama dengan Network 1 berhubung terma tawaran berkenaan termasuk penilaian, saiz tawaran dan harga, yang mana butirannya akan diumumkan dalam masa terdekat.

 

Unex, sebuah syarikat yang disenaraikan di Pasaran OTC Amerika Syarikat (AS), memfailkan Borang 8K dengan Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Amerika Syarikat (SEC) pada 21 Disember 2021 mengumumkan penutupan satu siri urus niaga untuk pemerolehan perniagaan sistem pemanasan, pengudaraan dan penyaman udara (HVAC) yang dijalankan oleh EvoAir International Limited dan anak-anak syarikatnya.

 

 

evoair
Ketua Pegawai Kewangan EvoAir, Caroline Ong (dari kiri) bersama Naib Presiden Kanan Network 1 Financial Securities, Karen Mu; Pengarah Urusan Perbankan Pelaburan Network 1, Adam Pasholk; Pengarah EvoAir, Vincent Oh; Ketua Pegawai Eksekutif EvoAir, Low Wai Koon; Pengarah Urusan Kumpulan EvoAir, Kevin Chan dan Pengarah EvoAir, Ivan Oh pada majlis menandatangani dokumen antara EvoAir dan Network 1, semalam. 

 

 

Pengarah Urusan Kumpulan dan Pengasas Bersama EvoAir Group, Kevin Chan berkata, cadangan penyenaraian Nasdaq ialah sebahagian daripada strategi kepelbagaian kumpulan untuk meluaskan asas modal dan membina syarikat menjadi pemain antarabangsa dalam ruang HVAC dan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

 

Selain itu, katanya, ia memainkan peranan penting dalam meningkatkan gaya hidup orang ramai melalui aspirasi hijau di samping menyokong untuk melindungi planet bumi.

 

"Kami teruja untuk bekerjasama dengan pasukan di Network 1, memanfaatkan pengetahuan dan kepakaran mendalam mereka serta rangkaian yang luas dalam mendapatkan modal pertumbuhan yang diperlukan dan penyelesaian pasaran modal yang berjaya," katanya dalam kenyataan.

 

Produk teras kumpulan, evoair, ialah penghawa dingin mesra alam dengan teknologi sistem kawalan pelepasan haba (HECS) yang dipatenkan/paten, yang menukar haba buangan dikeluarkan oleh kondenser penghawa dingin konvensional (unit luaran) kepada udara yang sejuk dan lembap, dengan itu menukarkan kondenser penghawa dingin kepada unit penyejuk tambahan, dengan 'penyejuk' berfungsi juga sebagai penyejuk udara.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan Perbankan Pelaburan Network 1, Adam Pasholk berkata, pihaknya berharap dapat bekerjasama dengan kumpulan EvoAir dalam perjalanan penting ini dan melihat syarikat berkembang sebagai syarikat awam dan terus berkembang dan mempelbagaikan dalam sektor ESG yang menarik. 

 

Dalam perkembangan lain, Evo Air Marketing (M) Sdn. Bhd., cabang pemasaran EvoAir Group dan Mercurius Digital Sdn. Bhd. memeterai perjanjian strategik bagi mewujudkan pengaturan kerjasama bagi tujuan merangka dan melaksanakan strategi penciptaan nilai untuk Kumpulan EvoAir dan Mercurius, termasuk pembangunan saluran perniagaan dan pemasaran serta pengembangan ke dalam segmen pasaran baharu. - DagangNews.com