Unifi Business lancar ciri baharu bantu proses transformasi digital PMKS | DagangNews Skip to main content

Unifi Business lancar ciri baharu bantu proses transformasi digital PMKS

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 April - Unifi Business melancarkan ciri-ciri baharu yang menarik dalam rangkaian penyelesaiannya untuk membantu mempercepatkan proses transformasi digital perniagaan bagi Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS). 

 

Menerusi penawaran ekosistem menyeluruh perundingan, kesalinghubungan, penyelesaian digital dan perkhidmatan khusus, Unifi Business berhasrat untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai rakan digital pilihan bagi PMKS ketika sektor itu semakin pulih daripada kesan pandemik.

 

Ketua Segmen PKS Unifi, Mohamad Yusman Ammeran berkata, PMKS adalah tulang belakang ekonomi negara dan mereka perlu memanfaatkan ledakan digital tepat pada masanya, yang memberikan peluang ideal untuk terus bergerak maju ke arah pertumbuhan yang lebih mampan.

 

"Pelaksanaan pendigitalan secara tepat adalah langkah terbaik dan Unifi Business bersedia untuk membantu mereka kembali bangkit bagi mencapai keuntungan melalui penyelesaian digital yang inovatif," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Yusman menambah bahawa Unifi akan bersama PMKS, membimbing dalam perjalanan digitalisasi mereka.

 

"Pasukan perunding perniagaan Unifi yang bertauliah adalah satu lagi bukti komitmen kami untuk berkhidmat kepada PMKS. Mereka diperakui dengan Pensijilan Antarabangsa untuk Literasi Digital (ICDL) dan akan menawarkan sokongan dan bimbingan secara berterusan.

 

axiata
Mohamad Yusman Ammeran

 

"Pelbagai penyelesaian perniagaan kami untuk PMKS menggambarkan sokongan Telekom Malaysia Bhd (TM) terhadap pelbagai inisiatif kerajaan, seperti JENDELA dan MyDIGITAL, sejajar dengan peranan kumpulan sebagai pemacu Digital Malaysia," katanya.

 

Sebagai pusat sehenti untuk segala keperluan perniagaan, suite Unifi Business antara lain kini merangkumi Unifi eCommerce Hub, Unifi Cloud Storage, penyelesaian keselamatan siber dan unifi Business Club.

 

Unifi eCommerce Hub direka untuk menghubung dan memaksimumkan peluang pertumbuhan dengan lancar, menawarkan platform tunggal dan bersepadu, dengan antara muka yang mudah digunakan.

 

Unifi Cloud Storage pula membantu perniagaan menguruskan tugasan yang sering merumitkan seperti menyimpan maklumat penting, membawakan storan data yang fleksibel, selamat dan mudah diubah. - DagangNews.com