Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]
KUALA LUMPUR 30 Nov - unifi, penyedia konvergens terkemuka di Malaysia memperkenalkan lima inisiatif #unificares bagi mengubah pengalaman pelanggannya secara menyeluruh.
Ketua Pegawai Pemasaran Telekom Malaysia (TM) Shanti Jusnita Johari, berkata #unificares merupakan bukti usaha berterusan syarikat dalam mengutamakan pelanggan.
Katanya, unifi menyasarkan untuk mengubah pengalaman pelanggan secara menyeluruh dengan fokus yang diperbaharui bagi memastikan keperluan pelanggan dipenuhi.
"Bagi memenuhi janji ini, TM telah melabur dalam jumlah yang banyak sejak sekian lama untuk keupayaan sokongan pelanggan serta rangkaiannya bagi membawakan pengalaman pelanggan terbaik.
"Inisiatif #unificares yang baharu ini juga menggambarkan komitmen syarikat terhadap para pelanggannya yang kekal setia. unifi mempunyai milikan pasaran tertinggi dalam kalangan Penyedia Perkhidmatan Internet (ISP) tempatan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, TM dan unifi akan melaksanakan segala yang termampu dari segi kepuasan pelanggan.
Beliau berkata, lima inisiatif inovatif #unificares termasuklah Jaminan baikpulih perkhidmatan dalam 24 jam, Makluman Perkhidmatan Proaktif (Proactive Service Alert), Easyfix, Service Tracker dan pakar-pakar unifi Elite.
"Jaminan baikpulih pelanggan dalam tempoh 24 jam ini merupakan yang pertama seumpamanya dalam industri.
Ini komitmen kami terhadap para pelanggan unifi untuk terus menikmati pengalaman jalur lebar terbaik," katanya.
Beliau menambah, langkah berani unifi ini adalah bagi memenuhi permintaan pelanggan yang memerlukan sambungan yang diyakini, sama ada dari segmen pengguna mahupun perniagaan, khususnya ketika perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menumpukan kepada usaha pemulihan dan pertumbuhan serta pengguna yang terus bekerja dan belajar secara hibrid susulan pandemik. -DagangNews.com