UniKL tersenarai dalam kedudukan subjek terbaik dunia 2021 | DagangNews Skip to main content

UniKL tersenarai dalam kedudukan subjek terbaik dunia 2021

Pelajar bidang kejuruteraan UniKL

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 30 Okt. - Universiti Kuala Lumpur (UniKL) berjaya mencuri tempat dalam senarai kedudukan subjek terbaik dunia dalam Times Higher Education (THE) World University Rankings mengikut subjek bagi tahun 2021.

Kejayaan itu dicapai melalui tiga subjek yang ditawarkan iaitu dalam bidang Perniagaan dan Ekonomi (501-600), Sains Komputer (801+) dan Kejuruteraan (801-1,000).

Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Prof. Dr. Shahrulniza Musa berkata, UniKL juga turut dikategorikan sebagai enam universiti terbaik di Malaysia dalam ketiga-tiga bidang pengajian berkenaan.

"Kejayaan ini juga adalah bukti kepada pencapaian jangka pendek dan panjang kami selama lima tahun iaitu dari tahun 2016 yang telah membuahkan hasil apabila mendapat pengiktirafan global. Ini merupakan kejayaan berganda buat UniKL.

"Menjadi sebuah universiti yang berpaksikan kepada Pendidikan dan Latihan Berteknologi Tinggi dan Vokasional (HTVET), pengiktirafan yang diberikan oleh Times Higher Education ini telah meletakkan kami dalam peta global di antara universiti di dunia. 

"Program yang kami tawarkan adalah berasaskan hands-on dan melahirkan graduan yang memenuhi kehendak pasaran industri," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Senarai kedudukan tiga subjek UniKL yang tersenarai dalam Times Higher Education (THE) World University Rankings mengikut subjek bagi tahun 2021.
Senarai kedudukan tiga subjek UniKL yang tersenarai dalam Times Higher Education (THE) World University Rankings mengikut subjek bagi tahun 2021.

 

Kedudukan subjek terbaik dunia bagi tahun 2021 melibatkan sebanyak 1,512 buah universiti.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 522 universiti telah melayakkan diri untuk pertama kalinya.

Keputusan THE World Subject Ranking 2021 merangkumi 11 bidang subjek yang menawarkan tempat pembelajaran yang terbaik di dunia. 

Bidang subjek tersebut merangkumi Seni dan Kemanusiaan, Perniagaan dan Ekonomi, Klinikal dan Kesihatan, Sains Komputer, Pendidikan, Kejuruteraan, Undang-Undang, Sains Hayat, Sains Fizikal, Psikologi dan Sains Sosial. 

Menyingkap kejayaan UniKL, univerisiti itu berjaya tersenarai dalam Times Higher Education (THE) World University Ranking 2021 pada kedudukan 1000+ dan telah berjaya menjadi antara 10 universiti teratas di Malaysia pada September 2020. 

Kejayaan yang dirangkul itu juga seiring dengan azam yang diletakkan UniKL untuk muncul sebagai universiti terbaik Asia menjelang 2020. - DagangNews.com