Unique Fire sempurnakan perjanjian taja jamin bagi terbitan IPO bersama Alliance Islamic Bank | DagangNews Skip to main content

Unique Fire sempurnakan perjanjian taja jamin bagi terbitan IPO bersama Alliance Islamic Bank

Ketua Pegawai Eksekutif Alliance Islamic Bank, Ehzan Fadil Azim (kiri) menyempurnakan perjanjian taja jamin terbitan tawaran awam permulaan bersama Pengarah Urusan Unique Fire Holdings, Liew Sen Hoi.
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Jun - Unique Fire Holdings Berhad hari ini memetrai perjanjian taja jamin bersama Alliance Islamic Bank Berhad dalam usaha memudahkan urusan tawaran awam permulaan (IPO) dan penyeneraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad. 

 

Alliance Islamic merupakan penasihat utama, penaja, penaja jamin tunggal dan ejen penempatan untuk terbitan IPO itu.

 

IPO itu melibatkan terbitan awam sebanyak 83.75 juta saham baharu dan tawaran untuk jualan 30 juta saham sedia ada. 

 

Daripada 83.75 juta saham baharu, 20 juta saham akan diperuntukkan kepada orang awam dan 8 juta saham akan disediakan untuk pengarah, pekerja dan orang yang telah menyumbang kepada kejayaan kumpulan.

 

Sejumlah 5.75 juta saham akan disediakan kepada pelabur terpilih manakala baki 50 juta saham akan disediakan keapda Bumiputera yang mendapat kelulusan Kementerian Perdangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan baki 30 juta saham akan disediakan kepada pelabur terpilih menerusi penempatan persendirian.

 

Pengarah Urusan Unique Fire, Liew Sen Hoi berkata, pernerbitan IPO akan membantu usaha meningkatkan imej korporat kumpu;an selain menyediakan pembiayaan untuk memacu perkembangan kumpulan pada masa hadapan.

 

"Kami akan memanfaatkan pengalaman serta kepakaran pengurusan dalam bidang pemasangan, pengedaran dan pengilangan dalam memberikan perlindungan kebakaran aktif , peralatan dan aksesori berkaitan.

 

"Kami juga merancang untuk mengembangkan kemudahan pembuatan dan keupayaan operasi untuk meluaskan pasaran pelanggan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini. - DagangNews.com