Unisem diunjur jadi antara penerima manfaat kitaran menaik sektor semikonduktor bermula 2HFY24 | DagangNews Skip to main content

Unisem diunjur jadi antara penerima manfaat kitaran menaik sektor semikonduktor bermula 2HFY24

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 1 April - RHB Investment mengunjurkan Unisem (M) Bhd menjadi antara penerima manfaat utama daripada kitaran menaik semikonduktor bermula separuh kedua tahun ini (2HFY24) dan seterusnya.

 

Katanya, unjuran itu meliputi peningkatan kadar penggunaan, pemulihan pasaran China, program baharu dan kepelbagaian rantaian bekalan pelanggan akan menjadi pemacu pertumbuhan pendapatan kumpulan.

 

Firma penyelidikan itu berkata, strategi pengembangannya diyakini merangsang pertumbuhan kumpulan pada masa hadapan.

 

"Pengurusan memberi bayangan hasil suku tahun ke suku tahun yang lebih stabil hasil didorong sentimen yang bertambah baik dalam segmen itu selain keadaan makroekonomi yang semakin baik.

 

"FY24 dilihat menawarkan sesuatu yang menarik disokong pelbagai inisiatif baharu serta pelaksanaan rancangan pelanggan bagi meluaskan jejak pembuatan mereka melangkaui China," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

RHB Investment berkata, Kilang Chengdu Fasa 3 dan Gopeng berada di landasan untuk mendapat manfaat daripada kitaran menaik semikonduktor.

 

Katanya, kelengkapan baharu dijangka sampai mengikut kumpulan bermula dari sekarang dan selaras dengan kadar pemuatan yang dirancang pelanggan.

 

"Kami percaya bahawa keadan sukar sudah berakhir dan sektor domestik dijangka mula mengejar sektor semikonduktor global yang semakin meningkat dan mengalami penarafan semula," katanya.

 

Firma penyelidikan itu berkata, walaupun pemulihan jangka pendek mungkin berbeza merentas segmen, pemulihan dalam ruang semikonduktor China, permintaan yang semakin meningkat untuk litar bersepadu (IC) dan jangkaan pemulihan dalam pasaran telefon pintar pada 2024 adalah antara yang positif.

 

"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi RM4.40 sesaham berbanding RM3.67 sesaham sebelum ini," katanya. - DagangNews.com