Unit Khazanah, Cenergi berjaya terbitkan sukuk RM210 juta biayai projek RE | DagangNews Skip to main content

Unit Khazanah, Cenergi berjaya terbitkan sukuk RM210 juta biayai projek RE

 

 

 

KUALA LUMPUR 23 Dis - Cenergi SEA Bhd., unit tenaga mampan di bawah Khazanah Nasional Bhd. berjaya menerbitkan Nota Jangka Sederhana Kanan Islamik RM210 juta yang pertama berdasarkan prinsip syariah Wakalah Bi Al-Istithmar. 

 

Terbitan ini mematuhi rangka kerja Sukuk Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI) Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Piawian Bon Hijau ASEAN yang dikeluarkan Forum Pasaran Modal ASEAN dan Prinsip Bon Hijau yang dikeluarkan Persatuan Pasaran Modal Antarabangsa (ASEAN SRI Sukuk Wakalah Kanan Hijau).

 

Ia terdiri daripada 5 tahun sukuk bernilai RM85 juta yang berakhir 2026 dengan kadar keuntungan 5.30% setahun dan 7 tahun sukuk bernilai RM125 juta yang berakhir 2028 dengan kadar keuntungan 5.55% setahun. 

 

ASEAN SRI Sukuk Wakalah Kanan Hijau ini diterbitkan mengikut Program Terbitan Nota Islamik Cenergi sehingga jumlah agregat RM1.5 bilion dalam nilai nominal berdasarkan prinsip syariah Wakalah Bi Al-Istithmar.

 

Program sukuk ini membolehkan Cenergi menerbitkan Sukuk Wakalah kanan dan Sukuk Wakalah kekal termasuk Sukuk Wakalah hijau dengan mematuhi Rangka Kerja Sukuk SRI SC dan/atau Piawaian Bon Hijau ASEAN dan/atau Prinsip Bon Hijau dan/atau garis panduan atau rangka kerja lain atau piawaian berhubung dengan bon hijau yang dikeluarkan dari semasa ke semasa.

 

Malah, program sukuk ini telah diberikan penarafan akhir A1/Stabil untuk Sukuk Wakalah kanan dan A3/Stabil untuk Sukuk Wakalah kekal oleh RAM Rating Services Bhd.

 

RAM Sustainability Sdn. Bhd. telah memberikan pendapat kedua mengenai Rangka Kerja Sukuk Hijau Cenergi.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Cenergi Group, Hairol Azizi Tajudin berkata, terbitan ASEAN SRI Sukuk Wakalah Kanan Hijau menyediakan peluang yang luas buat Cenergi untuk menguruskan dengan efektif dan mengoptimumkan aliran tunai, mengembangkan perniagaan dan menyokong aspirasi kerajaan dalam meningkatkan sektor tenaga boleh diperbaharui (RE).

 

Cenergi ketika ini aktif mengembangkan perniagaan dalam sektor RE dan merancang untuk menggunakan hasil terbitan sukuk itu untuk membiayai pembiayaan sedia ada dan membiayai projek RE akan datang. 

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Kewangan Cenergi, Vinie Chong Pui Ling berkata, pihaknya berbangga dapat menerbitkan Sukuk Hijau Korporat RE Malaysia yang pertama memandangkan syarikat yakin struktur modalnya bergerak seiring dengan visi, misi dan strategi ke arah kemampanan dan ruang RE.

 

CIMB Investment Bank Berhad ialah Penasihat Utama Tunggal, Pengatur Utama Tunggal dan Pengurus Utama Tunggal untuk program sukuk ini. - DagangNews.com