Unit Ranhill raih kontrak loji rawatan air di Johor bernilai RM11.94 juta | DagangNews Skip to main content

Unit Ranhill raih kontrak loji rawatan air di Johor bernilai RM11.94 juta

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 21 Okt - Ranhill Utilities Bhd. menerusi anak syarikat milik penuhnya, Ranhill Water Technologies Sdn. Bhd. (RWT) meraih kontrak bernilai RM11.94 juta bagi meningkatkan kapasiti Loji Rawatan Air Lok Heng di Kota Tinggi, Johor dengan tambahan empat juta liter sehari.

 

RWT menerima surat anugerah daripada Ranhill SAJ Sdn. Bhd. bagi kontrak tersebut setelah melalui bidaan tender yang kompetitif, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.

 

Kontrak itu membabitkan program kerja pelaburan modal (capex) mini Ranhill SAJ untuk cadangan reka bentuk, pembinaan, pengujian dan pentauliahan bagi tambahan lanjutan pakej loji tersebut.

 

"Ia dijangka siap dalam tempoh enam bulan bermula 1 November 2022 hingga 30 April 2023. Antara skop kerja di bawah kontrak ini termasuklah, mereka bentuk dan membekalkan pam pengambilan air mentah, pakej loji serta membekalkan dan memasang semua peralatan mekanikal.

 

"Selain itu, ia turut merangkumi kerja-kerja seperti membekalkan jalan masuk dan sistem perparitan dalam loji rawatan, menyediakan jurutera dan kontraktor untuk pemasangan tapak, menjalankan pengujian dan pentauliahan bagi loji rawatan dan menyediakan bekalan elektrik dan air semasa pembinaan dan pemasangan loji kontena," katanya.

 

Ranhill SAJ adalah anak syarikat milik 80% Ranhill manakala 20% lagi dimiliki Setiausaha Kerajaan Negeri Johor.

 

Ia merupakan pengendali air bersepadu di Johor dan terlibat secara dalam pengabstrakan air mentah, rawatan air, pengedaran dan penjualan air terawat kepada pengguna di negeri tersebut.

 

Menurut Ranhill, RWT telah membangunkan dan mengendalikan pelbagai loji rawatan air, air sisa dan pembetungan di Malaysia, China dan Thailand sejak 25 tahun yang lalu.

 

"Oleh itu, syarikat akan menggunakan keupayaan dan pengalamannya dalam memastikan semua risiko dapat dikenal pasti, dinilai, ditangani dan diteliti dengan baik," katanya.

 

Kumpulan menjangkakan kontrak itu akan menyumbang secara positif kepada pendapatan RWT dan Ranhill bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) dan FY23. - DagangNews.com