ILUSTRASI Senadi Hills Fasa 1A yang dibangunkan untuk memenuhi keperluan pelbagai generasi serta dikelilingi taman di halaman rumah.
Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 21 Julai - UEM Sunrise Berhad menyaksikan permintaan yang tinggi bagi pembangunan rumah teres dua tingkat berpengawal fasa pertama di Senadi Hills, Iskandar Puteri, Johor dengan hampir semua unit terjual dalam tempoh setahun selepas pelancarannya.
Sejak pelancarannya pada Julai tahun lepas, Fasa 1A Senadi Hills telah mencatatkan lebih daripada 85% jualan akhir, manakala Fasa 1B juga mempunyai kadar penjualan 75%, hanya selepas beberapa bulan pelancarannya.
Ketua Pegawai Operasi UEM Sunrise (Wilayah Selatan), Zamri Yusof berkata, permintaan terhadap Senadi Hills adalah amat menggalakkan.
“Walaupun dalam ketidaktentuan ekonomi dan penutupan sempadan, ini menunjukkan bahawa pelanggan mempunyai keyakinan yang tinggi terhadap kami dalam menghasilkan produk yang berkualiti dengan nilai berpatutan dalam tempoh masa yang ditetapkan.
“Kami bertekad untuk terus memenuhi permintaan dan harapan pelanggan kami dengan tepat melalui falsafah E.V.E, Menarik (Exciting), Membawa Nilai (bringing Value) dan Mudah Dimiliki (Easy to Own).
“Kami juga yakin dengan daya tarikan serta keunikan lokasi produk kami kepada pembeli warganegara asing apabila sempadan antarabangsa dijangka dibuka semula. Semua pembangunan UEM Sunrise berada di dalam Bandaraya Iskandar Puteri yang kian berkembang pesat dimana ianya terletak berhampiran dengan kemudahan awam dan hab rekreasi Puteri Harbour yang meriah,” katanya dalam satu kenyataan.
Senadi Hills yang mempunyai keluasan seluas 62 ekar merupakan komitmen UEM Sunrise terhadap permintaan untuk rumah peribadi dan berpengawal buat pelbagai generasi keluarga dengan taman-taman landskap di halaman rumah.
Ia juga merupakan sebuah pembangunan kediaman berpegangan kekal dengan akses ke lebuh raya dan lokasi yang berhampiran dengan pusat membeli-belah, kemudahan kesihatan, institusi pendidikan dan kemudahan rekreasi.
Kedua-dua Fasa 1A dan Fasa 1B yang masing-masing merangkumi 112 unit dan 120 unit daripada keseluruhan 398 unit kediaman yang ditawarkan di perumahan komuniti berpengawal eksklusif ini.
Harganya bermula daripada RM623,900, dan termasuk diskaun 15% untuk pembeli bumiputera.
Dataran Senadi pula adalah unit komersial yang melengkapkan pembangunan tersebut, dengan 20 unit pejabat kedai dua tingkat bakal memudahkan pembeli rumah untuk memenuhi keperluan harian mereka.
Hampir separuh unit-unit di Dataran Senadi kini telah terjual kepada pembeli untuk keselesaan penghuni Senadi Hills.
Terletak di bandaraya antarabangsa Iskandar Puteri dan tidak jauh dari bandaraya Singapura, Senadi Hills mudah diakses dari Lebuh Kota Iskandar dan Jalan Ismail Sultan (Lebuhraya Pesisir Pantai Iskandar).
Pembangunan ini juga terletak berhampiran dengan pembangunan matang termasuk Bukit Indah, Horizon Hills dan Nusa Bestari.
Senadi Hills yang mempunyai Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak RM411 juta, terletak berhampiran dengan kemudahan dan tempat-tempat menarik seperti Legoland Malaysia, Mall of Medini, Gleneagles Medini, Aeon Bukit Indah dan Terminal Feri Antarabangsa Puteri Harbour, serta pelbagai laluan utama yang menghubungkan bandaraya-bandaraya sekitarnya. - DagangNews.com