Unit TNB dikenakan taksiran hampir RM600 juta, beban cukai makin bertambah - Penganalisis | DagangNews Skip to main content

Unit TNB dikenakan taksiran hampir RM600 juta, beban cukai makin bertambah - Penganalisis

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 8 Nov - Tenaga Nasional Bhd. (TNB) dilihat terus berdepan beban cukai yang tinggi dengan ketika ini sudahpun berjumlah kira-kira RM7.9 bilion membabitkan tahun taksiran 2013 hingga 2018, menurut AmInvestment Bank Research.

 

Ini berikutan unit TNB dan Malakoff Corp. Bhd., Kapar Energy Ventures Sdn Bhd (KEV) menerima notis taksiran berjumlah RM595.95 juta daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pada 1 November lalu. 

 

Ia membabitkan tahun taksiran bagi 2011, 2012 dan 2014 manakala notis tambahan tahun taksiran bagi 2013, 2015, 2016, 2017 dan 2019, dengan kesemuanya bertarikh 29 Oktober 2021.

 

KEV merupakan 60% anak syarikat TNB Power Generation Sdn. Bhd., yang kemudiannya menjadi anak syarikat milik penuh TNB, manakala 40% lagi dimiliki syarikat bersekutu Malakoff.

 

Dalam makluman di Bursa Malaysia, Jumaat lalu, TNB berkata, LHDN berpendirian bahawa pinjaman saham tidak bercagar boleh tebus (RULS) yang diberikan kepada KEV oleh TNB dan Malakoff untuk membiayai pengambilalihan dan operasi  Stesen Janaelektrik Sultan Salahuddin Abdul Aziz, Kapar harus dianggap sebagai transaksi ekuiti, justeru, ia bersifat modal. 

 

Penganalisis AmInvestment, Gan Huey Ling melihat perkembangan itu adalah negatif kepada TNB walaupun kumpulan mungkin tidak mengiktiraf tambahan liabiliti cukai berkenaan dalam penyata kewangannya.

 

Namun, katanya, tambahan cukai taksiran sebanyak RM595.9 juta itu adalah kira-kira 11.9% daripada untung bersih dinormalisasikan TNB bagi tahun kewangan 2022.

 

"Ini kerana notis taksiran KEV adalah satu lagi tambahan kepada senarai cukai taksiran tambahan sedia ada TNB (2013-2018) daripada LHDN. 

 

"Tambahan pula, kami percaya ia mengambil masa yang panjang untuk menyelesaikan semua masalah cukai ini," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Kebanyakan taksiran cukai tambahan untuk TNB adalah berkenaan pelaburan semula untuk perbelanjaan modal bagi melaksanakan langkah pengembangan dan juga menaik taraf infrastruktur elektrik.

 

Didapati, tambahan cukai taksiran semasa TNB juga masih belum diselesaikan kerana kebanyakan kes berkenaan masih menunggu perbicaraan mahkamah.

 

Tarikh bagi perbicaraan tahun taksiran 2015 hingga 2017 telah ditetapkan pada 2 Disember 2021 selepas dikosongkan pada 9 September 2021.

 

Bagaimanapun, secara keseluruhan AmInvestment mengekalkan saranan 'beli' ke atas saham TNB dengan nilai saksama pada RM12.10.

 

Sementara itu, penganalisis Public Investment Bank Research, Tan Siang Hing berkata, sekiranya kumpulan perlu melunaskan bayaran ini secara penuh, ia akan merendahkan pendapatan sesahamnya kira-kira 6 sen kepada TNB manakala 5 sen bagi Malakoff. 

 

"Namun, kami memahami bahawa berdasarkan nasihat undang-undang yang diperoleh daripada peguamcara cukainya, TNB berpandangan ia mempunyai asas undang-undang yang baik untuk berhujah bahawa taksiran yang itu dibangkitkan LHDN adalah secara tidak betul," jelasnya.

 

Oleh itu, firma berkenaan mengekalkan penarafan 'outperform' bagi saham TNB dengan harga sasaran tidak berubah pada RM12.42. 

 

Sebaliknya, ia menyemak semula unjuran untung bersih bagi tahun kewangan 2022 sebanyak 11% setelah mengambil kira kadar Cukai Makmur yang tinggi seperti diumumkan kerajaan dalam Bajet 2022. - DagangNews.com