Unitrade ambil alih 51% pegangan dalam Intergreen Metals berharga RM66.3 juta | DagangNews Skip to main content

Unitrade ambil alih 51% pegangan dalam Intergreen Metals berharga RM66.3 juta

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Dis - Unitrade Industries Berhad bercadang memasuki pasaran logam kitar semula dengan mengambil alih 51% kepentingan dalam Intergreen Metals Sdn. Bhd. berharga RM66.3 juta.

 

Pengarah Urusan Unitrade, Nomis Sim Siang Leng berkata, langkah itu bertujuan melengkapkan operasi teras kumpulan dalam pemborongan bahan binaan.

 

Katanya, pengambilalihan itu mewakili peluang untuk meluaskan asas pendapatan kumpulan.

 

"Intergreen Metals mempunyai rekod prestasi yang terbukti dalam menyampaikan hasil dan keuntungan yang sihat secara konsisten sepanjang tiga tahun lalu.

 

"Selain itu, jaminan keuntungan yang disertakan dalam cadangan pengambilalihan itu dijangka mengukuhkan keuntungan Unitrade, menawarkan prospek positif untuk pertumbuhan berterusan," katanya dalam satu kenyataan.

 

unitrade
Nomis Sim Siang Leng

 

Pengambilalihan pegangan daripada Intergreen Holdings Sdn. Bhd. (IHSB), Intergreen Corp (M) Sdn. Bhd. (ICSB), dan Pong Wing Seng datang dengan jaminan Intergreen Metals akan mencapai untung bersih sebanyak RM45 juta dalam tempoh tiga tahun.

 

Intergreen Metals, ditubuhkan pada tahun 2003 mempunyai pengkhususan dalam mengumpul dan memproses sisa logam untuk dikitar semula menjadi bahan mentah input bagi pengeluar keluli.

 

Beliau berkata, dengan menerokai perniagaan logam kitar semula, pihaknya mempromosikan penggunaan bertanggungjawab menerusi penggunaan bahan yang optimum.

 

"Pada masa ini, rangkaian hubungan industri kami bertindih dengan Intergreen Metals, kami memperoleh produk daripada pengeluar keluli, dan mereka menyediakan sisa logam sebagai bahan mentah kepada kilang ini," katanya.

 

Unitrade berkata, pengambilalihan itu dijangka dibiayai sepenuhnya melalui dana yang dijana secara dalaman dan selesai menjelang akhir tahun ini.- DagangNews.com