Unitrade bekerjasama dengan Huawei, JJ-LAPP pacu penggunaan tenaga solar | DagangNews Skip to main content

Unitrade bekerjasama dengan Huawei, JJ-LAPP pacu penggunaan tenaga solar

(Dari kanan) Nomis Sim Siang Leng; Naib Presiden Perniagaan Kuasa Digital Huawei Malaysia, Chong Chern Peng dan Pengurus Besar JJ-LAPP, Chang Chee Keong memeterai MoU untuk peluang perniagaan bagi memupuk amalan lestari merentasi sektor kediaman dan C&I.
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 23 Jan - Unitrade Industries Bhd menerusi anak syarikatnya Syarikat Logam Unitrade Sdn Bhd bekerjasama dengan Huawei Technologies (Malaysia) Sdn Bhd dan JJ-LAPP (M) Sdn Bhd untuk memacu penggunaan tenaga solar.

 

Di bawah memorandum persefahaman (MoU) tiga pihak ini, mereka menyasarkan untuk meneroka peluang perniagaan di bawah rumusan fotovoltaik pintar kuasa digital Huawei bagi memupuk amalan kemampanan merentasi sektor kediaman serta komersial dan perindustrian (C&I).

 

Huawei Malaysia akan bertindak sebagai penasihat teknologi untuk sistem PV pintar, dilengkapi JJ-LAPP sebagai rakan kongsi nilai tambah yang sah untuk meningkatkan jangkauan dan impak rumusan dalam segmen-segmen disasarkan.

 

Sementara itu, Unitrade akan bertindak sebagai rakan pengedaran yang memudahkan akses pasaran lebih luas untuk sistem PV pintar.

 

Pengarah Urusan Unitrade, Nomis Sim Siang Leng berkata, kerjasama tersebut menandakan tumpuan berterusan pihaknya terhadap usaha niaga yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar.

 

“Kerjasama ini menggariskan komitmen Unitrade untuk merebut peluang inovatif dalam teknologi hijau, sekali gus mengembangkan portfolio produk kumpulan untuk memasukkan modul PV.

 

“Dengan terus melaksanakan amalan sifar pencemaran dan mengurangkan kebergantungan kepada sumber kuasa tradisional, kami berusaha untuk memupuk amalan mesra alam dalam kedua-dua sektor kediaman dan C&I,” katanya.

 

Sebagai sebahagian daripada komitmen syarikat, Nomis berkata Unitrade telah melaksanakan sistem PV solar di kompleks perindustrian kumpulan, serta forklift kenderaan elektrik (EV) bersepadu ke dalam operasinya. - DagangNews.com