Unitrade rekod untung bersih RM10.1 juta bagi 1QFY23 | DagangNews Skip to main content

Unitrade rekod untung bersih RM10.1 juta bagi 1QFY23

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 1 Sept - Unitrade Industries Berhad merekodkan untung bersih sebanyak RM10.1 juta bagi suku pertama berakhir 30 Jun 2022 (1QFY23).

 

Pada masa sama, kumpulan itu merekodkan hasil sebanyak RM342.5 juta bagi suku berkenaan.

 

Oleh kerana itu adalah laporan kewangan interim pertama kumpulan yang diterbitkan selepas penyenaraian, perbandingan untuk suku tahun yang sama tidak tersedia.

 

Dalam konteks itu, kumpulan merekodkan hasil sebanyak RM1.29 bilion dan untung bersih RM43.2 juta bagi tempoh 12 bulan tahun kewangan berakhir 31 Mac 2022 (FY22).

 

Untung bersih yang direkodkan bagi FY22 juga adalah tertinggi dalam sejarah syarikat.

 

Pengarah Urusan Unitrade, Nomis Sim Siang Leng berkata, selepas mencatatkan rekod cemerlang pada FY22, pihaknya gembira untuk memulakan tahun kewangan baharu dengan keputusan yang positif.

 

unitrade

 

"Walaupun harga keluli tidak stabil di pasaran, kami masih berjaya merekodkan untung bersih yang baik hasil daripada pemulihan aktiviti pembinaan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Beliau berkata, pihaknya positif terhadap prospek masa hadapan terutama komitmen kerajaan untuk meneruskan projek mega speerti MRT3 dan Projek Rel Pantai Timur (ECRL).

 

Katanya, pelaksanaan projek berkenaan akan memberi kesan positif kepada industri.

 

"Kelulusan pinjaman untuk sektor pembiaan adalah antara yang tertinggi dan Unitrade akan memanfaatkan peluang ini sebaik mungkin," katanya.

 

Menurut data yang dikeluarkan Bank Negara Malaysia (BNM), jumlah pinjaman bagi industri pembinaan yang diluluskan bagi 2QCY22 adalah sebanyak RM8.68 bilion lebih tinggi berbanding rekod pada 2015. - DagangNews.com