Unitrade umum tawaran awam permulaannya terlebih langgan sebanyak 2.35 kali | DagangNews Skip to main content

Unitrade umum tawaran awam permulaannya terlebih langgan sebanyak 2.35 kali

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 Jun - Pemborong dan pengedar bahan binaan tempatan terbesar negara, Unitrade Industries Berhad mengumumkan tawaran awam permulaan (IPO) yang disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad untuk bahagian awam telah terlebih langgan sebanyak 2.35 kali. 

 

Dalam satu kenyataan, Unitrade berkata, sebanyak 7,169 permohonan untuk mendapatkan 261,950,800 saham baharu, bernilai RM83.8 juta telah diterima bagi 78,125,000 saham baharu yang disediakan untuk permohonan oleh orang awam Malaysia.

 

Ujarnya, bahagian Bumiputera telah terlebih langgan sebanyak 0.81 kali, dengan 3,485  permohonan untuk 39,062,500 saham baharu diterima. 

 

"Bagi bahagian awam, sebanyak 3,684 permohonan untuk 39,062,500 saham baharu telah diterima, yang mewakili kadar lebihan langganan sebanyak 3.9 kali," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Pengarah Urusan Unitrade, Nomis Sim Siang Leng berkata, pihaknya gembira dengan maklum balas positif yang pasaran semasa yang sihat serta keyakinan orang ramai terhadap prospek perkembangan serta model perniagaan mereka.

 

Beliau berkata, pihaknya yakin untuk mengekalkan momentum perkembangan positif yang didorong oleh peningkatan aktiviti pembinaan dan kemajuan projek infrastruktur dalam skala besar.

 

"Kami akan menggunakan sebahagian besar hasil IPO untuk dijadikan modal kerja dalam meningkatkan julat inventori kami dan produk bahan binaan yang semakin meningkat.

 

"Sebagai pemborong dan pengedar, tambahan modal kerja adalah satu keperluan untuk memacu perkembangan kami.

 

"Menerusi pasaran ekuiti, ia membantu kami mencapai matlamat kami tanpa menanggung perbelanjaan faedah tambahan," katanya.

 

Unitrade dijangka berada di Pasaran ACE pada 14 Jun 2022 dan selepas penyenaraian, Unitrade akan mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM500 juta berdasarkan kepada harga terbitan RM0.32 dan modal sahamnya yang diperbesarkan sebanyak 1,56 bilion saham. - DagangNews.com