KUALA LUMPUR 15 Ogos - Universiti Nottingham Malaysia (UNM) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Pusat Penyelidikan Madani (MRC) bagi menaikkan taraf ekonomi Malaysia, berdasarkan falsafah Malaysia MADANI pada Rabu.
Menerusi MoU itu, kedua-dua pihak bersetuju untuk bekerjasama selama 2 tahun, memberi tumpuan pada pemupukan inovasi serta pembangunan penyelidikan dalam bidang utama seperti pembinaan kapasiti, advokasi dasar dan penilaian impak untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi Malaysia.
Universiti itu berkata, melalui Kerjasama itu, MRC akan melaksanakan projek penyelidikan strategik yang bertujuan meningkatkan infrastruktur ekonomi dan sistem sosial Malaysia.
“Projek-projek ini dirancang untuk meningkatkan ketahanan negara serta daya saing global, memberi tumpuan kepada pelbagai aspek seperti jaringan keselamatan sosial, pertanian, tenaga boleh diperbaharui (RE) dan perdagangan antarabangsa.
“Pihak UNM dan MRC akan menjalankan penyelidikan dan program yang mengutamakan kesejahteraan rakyat, membina bakat dalam sekuriti makanan, memajukan ekosistem tenaga boleh diperbaharui, menjaminkan daya saing negara di peringkat global serta meningkatkan hubungan ekonomi di peringkat serantau dan antarabangsa,” ujarnya.
Kerjasama dua tahun itu diketuai oleh Profesor Madya dari Nottingham University Business School, Dr Chan Sok Gee dan akandisokong oleh pasukan penyelidik yang berpengalaman, termasuk Dr Xiao Saizi dari Pusat Pengajian Ekonomi di UNM, Profesor Seow Hsin-Vonn dari Nottingham University Business School, Profesor Madya Dr Zulkukfly Ramly dari Jabatan Kewangan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Dr Mohd Zaini Abdul Karim, Profesor Ekonomi di Universiti Utara Malaysia (UUM).
Provost Interim dan Ketua Pegawai Eksekutif UNM Profesor, David Fitzpatrick berkata, melalui kepakaran penyelidikan berintegrasi kami dengan objektif strategik dan falsafah MRC, kami berhasrat untuk memperkasakan perniagaan tempatan dengan keupayaan untuk berjaya di peringkat antarabangsa.
“Kerjasama ini bukan sahaja meningkatkan peranan kami dalam memacu pembangunan kapasiti ekonomi tetapi juga membolehkan UNM meneruskan misi dalam menyumbang kepada pembangunan negara melalui penyelidikan dan inovasi yang memberi impak,” ujar beliau.
Mengulas lebih lanjut mengenai kepentingan kerjasama tersebut Naib Provost Penyelidikan dan Pertukaran Ilmu UNM, Profesor Dr Mohd Shahir Liew berkata, Kerjasama itu juga memastikan pertumbuhan negara kita kekal mampan dengan memacu penyelesaian berasaskan bukti dan berkongsi ilmu yang secara langsung, memberi impak kepada ketahanan sosioekonomi Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif MRC Mohd Azmi Mat Nayan, menegaskan, tumpuan pusat penyelidian itu dalam membentuk dasar-dasar yang akan menjadikan Malaysia hab pelaburan yang menarik di rantau ini sekaligus memacu pembangunan negara.
“Melalui usahasama dengan UNM, kami komited untuk memastikan manfaat pembangunan ekonomi dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat. Usahasama ini adalah sebahagian penting daripada misi kami dalam memajukan kepentingan strategik Malaysia, memupuk pembangunan mampan, dan menyelaraskan pertumbuhan kami dengan prinsip-prinsip Malaysia MADANI,” ulasnya. - DagangNews.com