Universiti UCSI, Billion Prima jalin kerjasama dalam bidang penyelidikan kejuruteraan | DagangNews Skip to main content

Universiti UCSI, Billion Prima jalin kerjasama dalam bidang penyelidikan kejuruteraan

Dari kiri: Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Pasca Siswazah) Universiti UCSI, Prof Dr Phang Siew Moi, Naib Canselor Universiti UCSI dan CEO Kumpulan UCSI, Prof Datuk Ts Ir Dr Siti Hamisah Tapsir, Pengurus Besar Billion Prima, Lee Yuh Jiunn dan Pengarah R&D dan Pembangunan Perniagaan Billion Prima, Prof Dr Ir Abdul Karim Mirasa.
Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 19 Jun - Universiti UCSI dan Billion Prima Sdn Bhd, salah satu syarikat terkemuka Asia yang menonjolkan teknologi ‘Non Intrusive Inspection’ (NII), akan bekerjasama dalam bidang penyelidikan kejuruteraan.

 

Di bawah memorandum perjanjian yang ditandatangani oleh kedua-dua pihak, lima pelajar UCSI kini  mengusahakan tiga projek kejuruteraan yang melibatkan pengimbasan, komunikasi dan pemantauan sinaran.

 

Billion Prima akan menaja pelajar sepanjang tugasan penyelidikan mereka dan kos latihan itu dijangka melebihi RM200,000.

 

Naib Canselor UCSI Prof Datuk Dr Siti Hamisah Tapsir berkata MoA itu penting kerana ia melibatkan penyelidikan berimpak tinggi yang boleh memberi kesan kepada industri.

 

"Saya gembira kerana Billion Prima menaja pelajar kami dan saya berharap kerjasama ini akan menjana pengetahuan baharu.

 

"Saya yakin Billion Prima akan terus mengambil graduan kami dan saya berharap inisiatif ini akan menyuntik alumni kami untuk menubuhkan syarikat permulaan teknologi mereka sendiri," ujar beliau dalam kenyataan di sini.

 

Tambahnya, bidang itu merupakan bidang yang ingin diceburinya semasa memegang jawatan sebagai ketua setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

 

Pengurus besar Billion Prima, Lee Yuh Jiunn berkata syarikatnya berminat untuk menarik lebih ramai bakat daripada UCSI.

 

"Kami mahu melatih bakat tempatan dan kami akan terus membiayai mereka untuk merevolusikan industri pengimbasan," katanya.

 

“Syarikat kami juga telah membiayai dua pelajar PhD industri dari UCSI. Seorang sudah bekerja di syarikat ini dan seorang lagi akan bermula pada bulan Ogos,” tambah beliau.

 

Billion Prima menjalankan pusat R&D tunggal di Asia Tenggara untuk pengimbasan kargo dan bagasi. Ia juga merupakan pengeluar terkemuka di rantau ini bagi peralatan ‘Non Intrusive Inspection’ (NII).

 

UCSI disenaraikan dalam 1% teratas dunia dalam QS World University Rankings 2025 berdasarkan kedudukan 265 teratasnya. Ia menonjol sebagai satu daripada universiti swasta terkemuka di Asia. - DagangNews.com