Unjuran KDNK rasmi diumumkan Ogos ini - Tengku Zafrul | DagangNews Skip to main content

Unjuran KDNK rasmi diumumkan Ogos ini - Tengku Zafrul

Tengku Zafrul Abdul Aziz

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 29 Julai - Anggaran rasmi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan diumumkan pada bulan Ogos bersama-sama laporan suku kedua (2Q21) KDNK nanti.

 

Menurut Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, unjuran itu turut mengambil kira kesan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) ke atas ekonomi pada separuh pertama tahun ini.

 

“Dengan pelaksanaan PKP 3.0 baru-baru ini, negara telah mengalami kerugian KDNK sebanyak kira-kira RM1.1 bilion sehari, berbanding dengan kerugian sebanyak kira-kira RM2.4 bilion sehari sewaktu PKP penuh pada Mac tahun lalu.

 

“Oleh itu, KDNK pada tahun 2021 dijangka mencatatkan pertumbuhan lebih rendah berbanding anggaran awal sebelum ini, iaitu antara 6% hingga 7.5%. 

 

“Sudah tentu krisis ini juga memberi kesan kepada pasaran buruh kita. Walau bagaimanapun, kadar pengangguran telah menyederhana kepada 4.5% pada Mei tahun ini berbanding 5.3% setahun yang lepas, iaitu kadar tertinggi sejak tahun 1990,” jelas Tengku Zafrul ketika membentangkan Pakej Bantuan Ekonomi dalam sidang Parlimen, hari ini.

 

Menerusi pembukaan sektor ekonomi secara bersasar dan disokong pakej bantuan, Tengku Zafrul berkata, negara berjaya mengelak daripada kadar pengangguran yang meningkatkan dengan mendadak dan lebih ramai lagi pekerja diberhentikan. 

 

Malah, sejak bulan Oktober lepas, tawaran untuk pekerja mahir telah mula menambah baik hasil program-program kerajaan untuk meningkatkan peluang pekerjaan yang lebih berkualiti, katanya.

 

Berikutan langkah penutupan ekonomi, KDNK negara telah menguncup sebanyak 5.6% tahun lalu. 

 

Bukan hanya Malaysia yang terkesan, tetapi banyak negara lain seluruh dunia juga mengalami kemelesetan ekonomi seperti Singapura yang menjunam 5.4%, United Kingdom mencatatkan pertumbuhan negatif  9.8% , Jepun (-4.7%) dan Filipina (-9.6%). - DagangNews.com