Unjuran pendapatan Dialog bagi FY24-25 dikekalkan berikutan prestasi 1QFY24 sejajar trajektori positif – MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Unjuran pendapatan Dialog bagi FY24-25 dikekalkan berikutan prestasi 1QFY24 sejajar trajektori positif – MIDF Research

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 15 Nov MIDF Research mengekalkan unjuran pendapatan Dialog Group Berhad bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024 dan 2025 (FY24-25) berikutan prestasi kumpulan pada suku pertama tahun kewangan 2024 (1QFY24) sejajar dengan trajektori positif.

 

Firma penyelidikan itu menjelaskan bahawa Dialog telah mencapai 17% daripada unjuran tahunannya untuk FY24 berikutan pendapatan 1QFY24 meningkat 5.1% tahun ke tahun (YoY) kepada RM132.2 juta manakala hasilnya naik 9.7% YoY kepada RM780.4 juta.

 

“Ketika ini, kami mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) tidak berubah sebanyak RM3.28. Harga sasaran adalah berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (PER) 24.5 kali yang ditambat pada pendapatan sesaham 2024 (EPS24) pada 13.4 sen,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Mengulas mengenai prospek kumpulan, MIDF Research berkata Dialog memiliki banyak peluang untuk berkembang dalam operasi hiliran dan pertengahan.

 

Menurut firma itu, sebagai tambahan kepada ladang penyimpanan Dialog di Johor, penglibatannya dengan pembinaan kilang kimia khusus pertamanya yang dimiliki dan dikendali di Pahang di bawah syarikat usaha sama Morimatsu Dialog, yang dijadulkan mula beroperasi pada 2026, akan menambah nilai lebih untuk perniagaan hilirannya.

 

“Kami berpendapat bahawa kumpulan itu berada di landasan yang betul di bawah rantaian nilai, dan kepelbagaian segmen hilirannya kepada petrokimia adalah sejajar dengan jangkaan peningkatan permintaan untuk produk kimia khusus apabila ekonomi serantau terus bertambah baik dan pulih,” tambahnya.

 

Sementara itu, firma itu melihat rancangan syarikat itu mempelbagaikan perniagaan dalam operasi huluan sebagai langkah bijak,

 

Walaupun bahagian huluan minyak dan gas dilabelkan sebagai subindustri minyak dan gas keras, firma itu berkata prognosis keseluruhan bagi pasaran minyak telah bertambah baik berikutan gangguan bekalan dan permintaan yang disebabkan oleh peristiwa geopolitik dan ketidaktentuan dalam ekonomi.

 

Namun begitu, kami positif terhadap perniagaan huluan Dialog yang melibatkan pemulihan, pembinaan semula serta operasi pengeluaran dan medan minyak matang kerana kami percaya ini secara amnya lebih menjimatkan kos daripada penerokaan utama medan baharu.

 

“Selain itu, Dialog mempunyai kepakaran untuk kekal dalam huluan, terutamanya perkhidmatan kejuruteraan dan teknikalnya. Dalam gambaran makro, kepelbagaian huluan akan memberikan Dialog manfaat untuk mengurangkan sekiranya turun naik pasaran minyak bertambah dan rantaian bekalan untuk pertengahan dan hiliran terganggu,” katanya.

 

Di samping itu, usaha Dialog menceburi pasaran rendah karbon bagi memenuhi komitmen alam sekitar, sosial dan tadbiur urus (ESG) kumpulan juga penting untuk memastikan peralihan tenaga teratur, selaras dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) yang dilancarkan oleh kerajaan tahun ini, serta mengekalkan portfolio kumpulan dalam persekitaran minyak dan gas.  - DagangNews.com