Unjuran pendapatan Gamuda dikekalkan berikutan projek Sydney Metro West mengikut jadual dan dijangka tidak dibatalkan – AmInvestment | DagangNews Skip to main content

Unjuran pendapatan Gamuda dikekalkan berikutan projek Sydney Metro West mengikut jadual dan dijangka tidak dibatalkan – AmInvestment

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 20 Nov - AmInvestment Bank Research mengekalkan unjuran pendapatan Gamuda Berhad memandangkan projek Sydney Metro West kekal mengikut jadual dan berkemungkinan tidak dibatalkan.

 

Firma penyelidikan itu berkata demikian susulan lawatan ke tapak projek Gamuda di Sydney dan perjumpaan dengan pegawai Austrade minggu lepas yang mengesahkan perkembangan tersebut.

 

Terdahulu, pada Julai tahun ini, Premier New South Wales, Chris Minns memberi petunjuk kemungkinan pembatalan atau penangguhan projek Sydney Metro West kerana anggaran kos yang meningkat.

 

“Daripada semakan saluran, kami difahamkan bahawa negeri tersebut sedang menyemak penambahan lebih banyak stesen ke laluan asal untuk menjana nilai pembangunan komersial dan kediaman tambahan.

 

“Ini mungkin bermakna bahawa sebaliknya mungkin terdapat tempahan kerja variasi tambahan kepada nilai kontrak AU$2.2 bilion yang diberikan kepada Gamuda Australia.

 

“Tambahan pula, perjumpaan kami dengan Austrade mengesahkan bahawa sebarang pembatalan projek akan menelan belanja lebih tinggi,” ulasnya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Di samping itu, AmInvestment berkata setakat 31 Julai 2023, Australia menyumbang 58.3% daripada buku pesanan pembinaan tertunggak Gamuda sebanyak RM21.8 bilion, termasuk RM400 juta novasi kontrak daripada pengambilalihan DT Infrastructure Pty Ltd (DTI) daripada kumpulan Downer.

 

Menurut firma itu, Gamuda sedang membida projek Australia AU$5 bilion hingga AU$6 bilion, iaitu  70% hingga 84% daripada buku pesanan tertunggak kumpulan.

 

“Pada pandangan kami, Gamuda Australia, berserta pengambilalihan asetnya, berada di kedudukan yang baik untuk memanfaatkan pelbagai saluran kerja di Australia disebabkan beberapa bidaan yang berjaya baru-baru ini; pasukan kejuruteraan Gamuda berpengalaman dan inovatif; overhed korporat yang lebih rendah; dan kerja luar pesisir kepada kumpulan bakat kejuruteraan lebih luas berbanding kekurangan tenaga kerja negara tersebut,” katanya.

 

Selain itu, firma itu berkata Gamuda juga sedang meneroka pelaburan ekuiti sehingga 40% ke dalam projek tenaga boleh diperbaharui, termasuk pembangunan penyimpanan tenaga hidro pam dengan subkontraktor pakar berpangkalan di Malaysia serta pengendali tenaga bersih Petronas, Gentari, yang mungkin melibatkan kontrak terowong bernilai AU$2 bilon.

 

AmInvestment berkata sepanjang tujuh tahun akan datang hingga 2030, Infrastructure Partnerships Australia menganggarkan projek bernilai AU$328 bilion dalam tenaga, AU$127 bilion dalam rel dan AU$67 bilion dalam jalan raya.

 

Firma itu mengekalkan saranan ‘beli’ dengan nilai saksama (FV) lebih tinggi sebanyak RM6.73 sesaham berbanding RM5.17 sebelumnya selepas memasukkan baki nilai tempahan bersih syarikat induk terkini kepada pengiraan jumlah produk (SOP).  - DagangNews.com