Unjuran pendapatan UWC pada FY24-25 dikurangkan sehingga 24% ekoran kelemahan 1HFY24 – HLIB | DagangNews Skip to main content

Unjuran pendapatan UWC pada FY24-25 dikurangkan sehingga 24% ekoran kelemahan 1HFY24 – HLIB

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 26 Mac - Unjuran pendapatan UWC Berhad bagi tahun kewangan berakhir 31 Julai 2024 dan 2025 (FY24-25) dikurangkan masing-masing sebanyak 24% dan 16% manakala bagi FY26 dinaikkan sedikit 1%.

 

Oleh itu, Hong Leong Investment Bank (HLIB) mengekalkan saranan ‘pegang’ dengan harga sasaran (TP) dikurangkan kepada RM2.99 sesaham daripada RM3.24 sebelumnya.

 

TP baharu itu disandarkan kepada gandaan harga kepada pendapatan (PE) tidak berubah pada 34 kali daripada pendapatan sesaham (EPS) 2025. 

 

“Pada masa ini, kami berpendapat ganjaran-risiko adalah adil walaupun keamatan perdagangan berterusan, yang akhirnya boleh memanfaatkan UWC sebagai penyedia rumusan sehenti apabila lebih banyak syarikat mengalihkan pengeluaran dari China untuk mengelakkan tarif import,” ulasnya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Pelarasan terbaharu itu dibuat susulan PATAMI teras 1HFY24 kumpulan jatuh 90% tahun ke tahun kepada RM5 juta, meleset daripada anggaran HLIB dan konsensus disebabkan hasil dan margin pendapatan sebelum faedah, cukai, pelunasan dan susut nilai (EBITDA) yang lebih rendah daripada jangkaan. 

 

Menurut HLIB, buku pesanan UWC adalah mendatar suku ke suku pada RM120 juta, di mana bahagian hadapan semikonduktor membentuk 15% daripada jumlah keseluruhan. 

 

Firma penyelidikan itu berkata, UWC kekal optimistik terhadap prospek perniagaannya dan telah mula melihat tanda-tanda pemulihan. 

 

Tambahnya, kumpulan itu sedang mengembangkan kapasiti untuk perniagaan pembuatan semikonduktor bahagian hadapan dan projek kenderaan elektrik. 

 

“Ia menyasarkan untuk menyiapkan fasa kedua kemudahan baharunya di Taman Perindustrian Batu Kawan menjelang Disember 2024, manakala kemudahan baharu Taiping sedia untuk kerja-kerja fabrikasi.

 

“Ia telah memulakan pengeluaran besar-besaran untuk salah satu model penguji bateri kenderaan elektriknya dan menjangkakan dua lagi dalam perancangan untuk menjadi kenyataan dalam separuh kedua FY24 [Januari hingga Julai 2024],” tambahnya.

 

Pada pukul 3:40 petang ini, saham UWC menurun 20 sen atau 6.3% kepada RM3 dengan permodalan pasaran berjumlah RM3.3 bilion. - DagangNews.com