Unjuran perolehan FY21 UEM Sunrise dikurangkan 11.5% - HLInvest | DagangNews Skip to main content

Unjuran perolehan FY21 UEM Sunrise dikurangkan 11.5% - HLInvest

UEM Sunrise (UEMS)

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 9 Ogos - Unjuran perolehan syarikat pemaju hartanah terkemuka di Malaysia, UEM Sunrise (UEMS) dikurangkan sebanyak 11.5% bagi tahun kewangan 2021 (FY21).

 

Hong Leong Investment Bank Research (HLInvest) berkata, pengurangan itu dibuat dengan mengambil kira risiko kes COVID-19 yang masih tinggi serta lanjutan tempoh kawalan pergerakan di negara ini.

 

"Oleh kerana pelaksanaan Fasa 1 (Pelan Pemulihan Negara) adalah lebih lama daripada jangkaan, kami menurunkan unjuran pendapatan FY21 sebanyak 11.5%.

 

"Pemotongan itu mengambil kira bil progresif yang lebih rendah akibat daripada produktiviti yang tidak dapat diteruskan.

 

"Dalam pada itu, kami mengekalkan jangkaan perolehan bagi tahun kewangan 2022 hingga 2023," jelas HLInvest.

 

UEMS mencatatkan jualan yang memberangsangkan pada April dan Mei dengan jumlah yang tertinggi dicapai pada Mei.

 

Bagaimanapun, jualan pada Jun dan Julai menyaksikan penurunan akibat daripada perintah kawalan pergerakan Fasa 1.

 

Meskipun begitu, pengurusan UEMS berpandangan bahawa pihaknya berada di landasan yang betul untuk mencapai sasaran jualan sebanyak RM1.2 bilion.

 

Mengulas itu tersebut, HLInvest memberitahu, beberapa risiko penurunan jualan dijangka berlaku dan sasaran tersebut perlu disemak turun sekiranya tempoh 'lockdown' berterusan.

 

HLInvest mengambil pendekatan mengekalkan saranan 'pegang' saham UEMS dengan harga sasaran sesaham (TP) yang lebih rendah iaitu RM0.40 berbanding RM0.49 pada sebelumnya.

 

"Kami melihat kurangnya pemangkin jangka pendek bagi UEMS memandangkan sentimen yang lemah bagi hartanah di Johor akibat daripada 'lockdown' yang berterusan dan kes COVID-19 yang masih tinggi," jelas HLInvest lagi. - DagangNews.com