Unjuran purata harga jualan minyak mentah Brent kekal pada AS$80 setong bagi 2024 – Maybank IB | DagangNews Skip to main content

Unjuran purata harga jualan minyak mentah Brent kekal pada AS$80 setong bagi 2024 – Maybank IB

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 11 Jan - Maybank Investment Bank (Maybank IB) kekal positif terhadap sektor minyak dan gas Malaysia dengan jangkaan purata harga jualan (ASP) minyak mentah Brent sebanyak AS$80 setong bagi 2024.

 

Memandangkan Pentadbiran Maklumat Tenaga (EIA) Amerika Syarikat telah meramalkan permintaan minyak lebih tinggi pada 2024 dan 2025, Maybank IB berpendapat bahawa persekitaran harga minyak mentah yang meningkat akan kekal dalam jangka sederhana.

 

Firma itu menjangkakan harga minyak Brent kekal tinggi pada 2024 namun tidak stabil dan berpendapat bahawa pasaran minyak akan terus menghadapi tiga situasi sukar pada 2024.

 

Ini merangkumi peningkatan permintaan, di mana EIA meramalkan permintaan tertinggi pada 102.34 juta tong sehari (mbpd), diikuti kekangan bekalan disebabkan oleh struktur kurang pelaburan dan potensi risiko geo-politik, perang perdagangan atau laranhan eksport.

 

Di samping itu, Maybank IB berkata jurang bekalan dan permintaan mentah mengecil pada 2024, berdasarkan laporan Tinjauan Tenaga Jangka Pendek (STEO) terbaru EIA bagi Disember 2023.

 

“Laporan tersebut menjangkakan defisit minyak mentah bersih pada suku pertama 2024 dengan penggunaan dunia mengatasi sedikit pengeluaran sebanyak 0.80 mbpd.

 

“EIA juga meramalkan penggunaan minyak mentah tertinggi rekod sebanyak 102.34 mbpd pada 2024, dengan jangkaan bahawa jurang bekalan dan permintaan mengecil pada purata 0.15 mbpd (defisit bekalan) sepanjang tahun,” ulasnya dala nota penyelidikan hari ini.

 

Sementara itu, OPEC+ berkemungkinan mengekalkan peranannya sebagai pengeluar yang mengawal bekalan minyak mentah.

 

Maybank IB menjangkakan pemotongan pengeluaran selanjutnya daripada OPEC+ jika harga tidak bertahan melebihi AS$75 setong.

 

“Dengan usaha organisasi itu dan sekutunya untuk terus menyekat pengeluaran pada 2024, kami menjangkakan bekalan minyak kekal ketat pada masa hadapan,” katanya.

 

Pilihan utama firma tersebut bagi sektor ini dengan saranan ‘beli’ adalah Yinson Holdings Berhad (TP:RM5.05), Icon Offshore Berhad (TP: RM1.19), Velesto Energy Berhad (TP: 30 sen) dan Wasco Berhad (TP: RM1.55). - DagangNews.com