Unjuran untung bersih Bumi Armada bagi FY23 diturunkan 25% akibat Armada Kraken jejas kadar penggunaan, kos operasi – AmInvestment | DagangNews Skip to main content

Unjuran untung bersih Bumi Armada bagi FY23 diturunkan 25% akibat Armada Kraken jejas kadar penggunaan, kos operasi – AmInvestment

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 28 Ogos - AmInvestment Bank Research mengurangkan unjuran keuntungan bersih Bumi Armada Berhad bagi tahun kewangan 2023 (FY23) sebanyak 25% dan menurunkan harga sasaran (TP) kepada 68 sen sesaham daripada 69 sen, namun saranan ‘beli’ dikekalkan.

 

Firma penyelidikan itu menjelaskan bahawa semak turun tersebut dilakukan berikutan penurunan penggunaan kapal dan peningkatan perbelanjaan operasi (opex) bagi segmen terapung, pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan (FPSO), akibat operasi kapal Armada Kraken yang berpangkalan di United Kingdom telah terganggu oleh kerosakan dua transformer pada 29 Julai hingga 7 Ogos.

 

“Bagaimanapun, kami hanya menurunkan unjuran pendapatan FY24-FY25 sebanyak 4% sehingga 6% memandangkan kami menjangkakan kadar penggunaan dan kos operasi Kraken kembali normal mulai Ogos dan seterusnya,” tambahnya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Susulan keputusan suku kedua tahun kewangan 2023 (2QFY23), AmInvestment berkata keuntungan bersih teras Bumi Armada berjumlah RM254 juta bagi tempoh separuh pertama tahun kewangan 2023 (1HFY23) adalah meleset daripada jangkaan, merangkumi unjuran keuntungan bersih FY23 firma dan konsensus masing-masing pada 34% dan 36%.

 

 

BACA JUGA: Untung bersih Bumi Armada susut kepada RM118.77 juta pada 2QFY23 akibat penutupan Armada Kraken

 

 

Menurut AmInvestment, pendapatan kumpulan bagi 2QFY23 susut 19% suku ke suku (QoQ) disebabkan kadar penggunaan FPSO menurun lima mata peratus terutamanya disebabkan oleh isu teknikal Armada Kraken.

 

“Dengan kos pembetulan tambahan sebanyak RM40 juta untuk kapal tersebut, keuntungan bersih teras kumpulan bagi 2QFY23 menjunam 71% kepada RM59 juta.

 

“Sementara itu, buku pesanan firma kumpulan itu stabil pada RM11.2 bilion pada akhir 2QFY23 berikutan ringgit lebih lemah. Digabungkan dengan lanjutan pilihan bernilai RM9.7 bilion, ini diterjemahkan kepada pendapatan FY24 sebanyak 9 kali,” tambahnya.

 

Firma itu berkata faktor penarafan semula serta-merta adalah potensi pemberian kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) dengan potensi nilai projek sekurang-kurangnya AS$1 bilion daripada projek Cameia TotalEnergies.

 

Di samping itu, kumpulan itu juga sedang membida secara aktif untuk projek FPSO lain dan rumusan penghantaran karbon dioksida.

 

Tambahnya, Bumi Armada juga berkemungkinan dianugerahkan blok penerokaan Akia di Kalimantan Utara, Indonesia yang mungkin melibatkan rakan kongsi usaha sama bagi aktiviti huluan.

 

Pada waktu penulisan, saham Bumi Armada didagang tidak berubah pada 50 sen dengan permodalan pasaran sebanyak RM2.96 bilion.  - DagangNews.com