Unjuran untung bersih Nova Wellness pada FY24-25 diturunkan sehingga 14% ekoran jumlah jualan merosot – Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Unjuran untung bersih Nova Wellness pada FY24-25 diturunkan sehingga 14% ekoran jumlah jualan merosot – Kenanga Research

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 21 Feb - Kenanga Research menurunkan unjuran keuntungan bersih Nova Wellness Group Berhad pada tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024 dan 2025 (FY24-25) masing-masing sebanyak 12% dan 14% 

 

Firma penyelidikan itu berkata, unjuran tersebut adalah berikutan andaian sederhananya terhadap pertumbuhan jumlah jualan tahunan pada FY24-FY25 kepada hanya 6% hingga 9% (berbanding 8% hingga 11%) dan menurunkan andaian margin pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) untuk kedua-dua tahun kepada 45% (daripada 49%).

 

Oleh itu, firma tersebut mengekalkan saranan ‘outperform’ namun memotong harga sasaran (TP) sebanyak 12% kepada 74 sen sesaham daripada 84 sen sebelum ini berdasarkan pendapatan sesaham (EPS) FY24 pada 15 kali, sejajar dengan syarikat pesaing terdekat. 

 

Menurut Kenanga Research, keuntungan bersih pengeluar produk nutraseutikal dan penjagaan kulit itu berjumlah RM7.1 juta pada separuh pertama tahun kewangan 2024 (1HFY24) adalah mengecewakan, dengan hanya merangkumi unjuran tahun penuh firma konsensus masing-masing pada 42% dan 40%.

 

Firma itu berkata, Nova Wellness terkesan oleh jualan yang lebih lemah daripada jangkaan kerana pengguna menghentikan pembelian buat sementara waktu disebabkan oleh kelemahan sentimen perbelanjaan.

 

Bagaimanapun, firma tersebut percaya sentimen pengguna akan bertambah baik secara beransur-ansur pada tahun ini apabila pelaksanaan rasionalisasi subsidi lebih jelas, terutamanya berkaitan RON95.

 

“Setelah dilaksanakan, pengguna secara beransur-ansur akan menyesuaikan diri dengannya dan menyambung semula perbelanjaan mengikut kemampuan. 

 

“Peningkatan beransur-ansur dalam ekonomi tempatan dan pasaran pekerjaan selaras dengan pemulihan ekonomi global juga akan membantu.

 

“Ini sepatutnya menjadi petanda baik bagi Nova Welness yang berhasrat untuk meningkatkan pengeluaran di kilang baharunya pada tahun ini,” ujar firma itu dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Kenanga Research turut mendedahkan bahawa terdapat kesan pendapatan setahun penuh daripada pengenalan 35 unit penyimpanan stok (SKU) baharu pada FY22 (berbanding 15 pada FY21).

 

Pada pukul 11:29 pagi ini, saham Nova Wellness menokok 0.5 sen atau 1% kepada 52 sen dengan permodalan pasarannya bernilai 165.7 juta.  - DagangNews.com